Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 8, 2011

Muslim janji aksi terbaik pertahanan (Utusan Malaysia Online)


Mohamad Muslim Ahmad (kanan) berjanji barisan pertahanan skuad negara akan memberi persembahan terbaik menentang Pakistan dalam pertemuan kedua kelayakan Olimpik di Lahore, esok.


SEPANG - Pemain pertahanan skuad Olimpik negara, Mohamad Muslim Ahmad akan memastikan jentera pertahanan negara berfungsi dengan cemerlang menentang Pakistan, esok.

Sedar akan tanggungjawab besar mempertahankan kubu negara di Lahore untuk perlawanan kedua itu, Mohamad Muslim turut berharap pemain pertahanan lain yang akan digandingkan bersamanya mampu bermain sehingga tahap terbaik sepanjang aksi 90 minit.

Antara pemain yang mungkin digandingkan bersama Mohamad Muslim menjaga benteng tengah negara ialah Mohammad Fadhli Mohd. Shas dibantu oleh bek kiri, Mohd. Affize Faizal Faisal Mamat dan bek kanan, Mahali Jasuli.

Gambaran awal perlawanan esok yang dapat dibayangkan Mohamad Muslim ketika ini ialah corak permainan bola tinggi oleh Pakistan selain mempunyai pemain yang sukar diramal keupayaan mereka sekali gus membuatkan pemain pertahanan Harimau Muda A itu perlu lebih berhati-hati.

''Hampir semua pemain mereka yang saya lihat masa perlawanan pertama bulan lalu mampu melakukan kejutan dan ini amat bahaya sekiranya kita lalai.

''Saya kini telah bersedia sepenuhnya untuk membantu pasukan mendapatkan kemenangan, malah keupayaan barisan pertahanan kita juga berada di tahap yang terbaik,'' katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebelum berlepas ke Lahore, semalam.

Tambah Mohamad Muslim, sungguhpun memperoleh kemenangan 2-0 pada pertemuan pertama, namun keputusan itu masih lagi belum selesa, malah perlu berusaha mendapatkan gol.

''Saya tidak kisah dengan apa yang bakal dilakukan oleh pasukan tuan rumah kerana kami perlu fokus untuk mendapatkan kemenangan.

''Kami juga akan cuba untuk mengelakkan berlaku sebarang kecederaan melibatkan pemain pertahanan sepanjang perlawanan di Lahore,'' jelas Mohamad Muslim.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...