Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Lupakan Kelebihan Jaringan Di Shah Alam, Kata Kapten Malaysia

07 Mac, 2011 18:23 PM

SEPANG, 7 Mac (Bernama) -- Kelebihan dua gol daripada pertemuan pertama antara Malaysia dan Pakistan di Stadium Shah Alam Rabu lepas tidak akan bermakna sekiranya skuad Olimpik negara tidak konsisten pada perlawanan timbal balik pusingan Kelayakan Olimpik di Lahore, Pakistan pada Rabu ini.

Kapten pasukan bola sepak negara Khairul Fahmi Che Mat berkata, pasukan lawan mungkin melakukan serangan bertubi-tubi bagi mendapatkan gol semangat.

Pemain negara, terutama di bahagian pertahanan sentiasa diingatkan agar tidak leka kerana Pakistan akan bermain secara agresif untuk mengatasi kelebihan gol yang Malaysia peroleh, katanya kepada pemberita di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebelum berlepas ke Lahore, Isnin.

Malaysia akan bertemu Pakistan bagi perlawanan kedua, pusingan pertama kelayakan ke Olimpik London tahun depan, yang akan berlangsung pada pukul 11 malam (waktu Malaysia), Rabu ini di Stadium Punjab, Lahore, Pakistan.

Pemain pertahanan Harimau Muda negara, Mohd Muslim Ahmad berkata pengalaman perlawanan pertama lalu mengajar barisan pertahanan untuk tidak terperangkap dengan corak permainan hantaran jauh yang hampir menghukum pasukan negara.

"Mereka selalu membuat hantaran jauh dan pemain mereka memiliki kelebihan daripada segi fizikal... Kami tidak boleh leka lagi dan setiap pergerakan mereka mesti dikawal ketat," katanya.

Pemain penyerang negara, Ahmad Fakri Saarani berkata kelebihan jaringan di Stadium Shah Alam tidak bermakna jentera serangan akan mengambil sikap sambil lewa.

"Kami akan bekerja keras untuk terus mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dan mencuri seberapa banyak jaringan yang boleh untuk memastikan kemenangan adalah milik kami," katanya.

Malaysia membawa bekalan dua gol ke Lahore selepas menumpaskan Pakistan 2-0 pada perlawanan pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam pada Rabu lepas.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...