Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 9, 2011

Kita selangkah ke pusingan kedua (Sinar Harian Online)


SKUAD Olimpik negara menggalas misi besar dan harapan rakyat Malaysia apabila dijadual bertemu Pakistan pada aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Stadium Punjab, Lahore, malam ini.

Defisit dua gol yang diperolehi sewaktu pertemuan di Shah Alam, 23 Februari lalu, perlu dikekalkan anak buah Ong Kim Swee dalam usaha memburu slot ke pusingan kedua sejak 1980.

Statistik perlawanan menunjukkan pertama kali kedua-dua pasukan dipertemukan pada 1960 semasa Kejohanan Piala Merdeka di Kuala Lumpur, ketika itu skuad negara berjaya menewaskan Pakistan dengan jaringan 1-0.

Dalam tujuh pertemuan yang direkodkan sebelum ini, Malaysia memenangi lima perlawanan dan masing-masing mencatat satu kali seri.

Dalam tempoh 51 tahun, Pakistan hanya memenangi satu perlawanan ketika beraksi dalam kejohanan Piala Kings di Bangkok pada 1981.

Tetapi, skuad Harimau Malaya disarankan tidak leka dengan pasukan kendalian Tariq Lutfi itu yang semestinya menjanjikan cabaran getir buat pasukan kebangsaan.

Difahamkan, mereka berjaya mengikat Palestin 0-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Lahore beberapa hari sebelum pertemuan dengan pasukan kebangsaan.

Isyarat itu jelas memberitahu pemain negara agar tidak memandang rendah keupayaan pasukan dari Asia Selatan itu dan mereka mampu membuat kita menggigit jari layak ke pusingan seterusnya.

Penjaga gawang Kelantan yang juga bertindak sebagai kapten pasukan negara, Khairul Fahmi Che Mat harus lebih berhati-hati dan mengarahkan rakan sepasukan memberi tumpuan 100 peratus di atas padang.

Gandingan penyerang Kedah dan Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Md Ali dan Ahmad Fakri Saarani di posisi serangan diharapkan mampu meledakkan gol tambahan pasukan Malaysia bagi mematikan kritikan negatif peminat tempatan yang ragu-ragu dengan kemampuan mereka selama ini.

Segala-galanya terpulang kepada kebijaksanaan percaturan taktikal Kim Swee dalam menentukan hala tuju anak buahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...