Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 8, 2011

Kim Swee optimis barisan penyerang mampu ledak (Harian Metro Online)

JURULATIH skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap barisan penyerangnya untuk menembusi gawang Pakistan meskipun sentuhan penyudah mereka kurang berkesan dalam aksi sebelum ini.

Beliau tetap mengekalkan dua tonggak yang masih gagal menyumbat gol musim ini, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali selain turut menyenaraikan Faizal Abu Bakar, Syahrul Azwari Ibrahim dan A Thamil Arasu di posisi penyerang.

“Saya menganalisa prestasi setiap pemain sebelum membuat pilihan, Fakri belum menjaringkan gol selepas mengalami kecederaan tiga bulan lalu. Pada perlawanan pertama, dia berusaha bersungguh-sungguh pada babak kedua namun nasib tidak menyebelahinya. Saya yakin dia akan menjaringkan gol di Pakistan.

“Bagi saya, Shakir penyerang berbeza, dia cukup tenang dalam kotak penalti, cuma dia sudah lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa. Saya akan memikirkan gandingan terbaik pada perlawanan itu, mungkin saya akan menggandingkan Fakri dengan Syahrul atau Thamil Arasu, tapi Shakir masih ada dalam perancangan saya,” katanya.

Kim Swee berlepas ke Lahore bersama 18 pemain bagi menghadapi perlawanan kedua pusingan kelayakan Olimpik 2012 esok. Pada perlawanan pertama di Shah Alam 23 Februari lalu, gandingan Fakri dan Shakir buntu menghasilkan gol meskipun Pakistan beraksi dengan 10 pemain. Mujurlah pemain tengah, Wan Zahrulnizam Wan Zakaria dan Mohd Irfan Fazail menyelamatkan keadaan dengan masing-masing menyumbat satu gol pada babak pertama.

Sementara itu, cuaca sejuk di Pakistan sehingga mencecah 10 darjah Selsius sepatutnya bukan masalah besar buat skuad Olimpik negara apabila beraksi di Stadium Punjab jam 11 malam waktu Malaysia kerana sudah mendapat pendedahan di luar negara sebelum ini.

“Suhu pada waktu malam di Pakistan mencecah 10 darjah Selsius tapi pada saya itu bukan masalah kerana sebelum ini mereka pernah bermain dalam cuaca lebih sejuk di Slovakia tahun lalu. “Apa yang penting pemain semua mengawal emosi, saya yakin kami boleh melepasi halangan ini untuk menempah tiket ke pusingan kedua,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...