Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, March 17, 2011

Kim Swee lega (Harian Metro Online)

PERMINTAAN jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee untuk menangguhkan tiga perlawanan Liga Super yang membabitkan Harimau Muda A pada Jun depan mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang dipengerusikan Datuk Hamidin Mohd Amin bersetuju untuk menangguhkan perlawanan Harimau Muda menentang Terengganu (14 Jun), Sabah (17 Jun) dan Pahang (21 Jun).

“Pihak jawatankuasa sudah meneliti permintaan jurulatih Ong Kim Swee yang mahu menangguhkan tiga perlawanan dengan Terengganu, Sabah dan Pahang dan bersetuju untuk menangguhkan ke satu tarikh lain yang dijangka akan diadakan pada bulan Julai.

“Penangguhan ini tidak akan memberi kesan kepada perjalanan Liga Super musim ini malah ia akan memberi peluang kepada skuad Olimpik negara membuat persiapan memandangkan kebanyakan pemain skuad itu adalah pemain Harimau Muda A.

“Keputusan ini juga memberi peluang kepada pemain luar yang dipanggil menyertai skuad Olimpik negara untuk bermain dengan pasukan masing-masing dalam Liga Super. Bagaimanapun tarikh baru perlawanan itu akan diketahui selepas undian pusingan kedua kelayakan Olimpik diadakan pada 30 Mac ini,” katanya.

Berita baik itu pastinya menggembirakan Kim Swee yang turut mengendalikan skuad Harimau Muda mengharungi Liga Super musim ini bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi perlawanan pusingan kedua yang diadakan secara timbal balik pada 19 dan 23 Jun depan.

Dalam pada itu Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata, JKPT mengeluarkan surat amaran kepada Persatuan Bola Sepak Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam supaya memperbaiki keadaan padang Stadium Shah Alam yang kini berada di tahap tidak memuaskan dalam tempoh 14 hari jika tidak mahu semua perlawanan di situ dipindah ke gelanggang lawan.

Selain Stadium Shah Alam, turut dipantau adalah Stadium JCORP Pasir Gudang dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang mengalami masalah lampu dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang ditutup akibat keadaan padang yang teruk.

Skuad Liga Super Pahang pula akan menghabiskan semua baki perlawanan musim ini di gelanggang lawan apabila Stadium Darul Makmur akan ditutup 1 April depan bagi tujuan baik pulih sebelum Sukma 2012.

Turut diputuskan dalam mesyuarat itu, final Piala FA pada 11 Jun ini akan diadakan di Stadium Shah Alam dan jika keadaan padang di stadium itu tidak memuaskan, pihak FAM akan memilih lokasi lain sebagai venue perlawanan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...