Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 9, 2011

Kim Swee latih skuad Sukan SEA (Utusan Malaysia Online)

PETALING JAYA – Tiada lagi persoalan. Segala-galanya sudah terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan jurulatih Olimpik dan Harimau Muda A, Ong Kim Swee bakal membawa cabaran negara mempertahankan pingat emas bola sepak pada Sukan Sea 2011.

Dalam masa yang sama, jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal akan memberikan bantuan kepada Kim Swee daripada segi teknikal berdasarkan pengalamannya ketika mengemudi skuad negara pada Sukan SEA di Laos, dua tahun lalu.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia di Wisma FAM.

“Mesyuarat hari ini memutuskan untuk menyerahkan tanggungjawab kepada Ong Kim Swee melatih skuad bola sepak ke Sukan Sea 2011.

“Kami berpendapat sudah sampai masanya memberikan peluang kepada jurulatih pelapis mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Skuad Bawah 19 akan dikendalikan oleh Ismail Ibrahim manakala Aminuddin Hussin dilantik sebagai jurulatih skuad Bawah 18.

“Keputusan ini tidak bermakna khidmat Rajagobal tidak diperlukan lagi, tetapi dia mempunyai misi lebih penting dalam membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2015 dan kelayakan Piala Dunia 2012, ” katanya.

Tetap dalam misi mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan Sea Laos 2009, Tengku Abdullah berkata, FAM yakin sasaran itu mampu dicapai.

“Sasaran kita tidak berubah iaitu mahu meraih sekali lagi pingat emas pada Sukan SEA di Indonesia dan saya harap Kim Swee mampu melakukannya, ” jelasnya.

Mengenai penubuhan akademi bola sepak yang diuar-uarkan sebelum ini, Tengku Abdullah berkata pihaknya mensasarkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini ia akan mula dibina dengan lokasinya telah dikenal pasti di Gambang, Kuantan.

“Mengikut perancangan, sebanyak 11 padang akan dibina dan satu daripadanya melibatkan stadium mini manakala semua padang akan mempunyai kualiti ‘rumput Bermuda’ (Bermuda Grass) yang mempunyai standard tinggi.

“Kemungkinan besar semua padang ini akan dapat disiapkan sebelum Sukan Malaysia 2012 berlangsung di Pahang, ” ujarnya.

Dengan kos anggaran sebanyak 20 juta dan berkeluasan 30 hektar, penubuhan akademi bola sepak itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet pada 15 Oktober tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...