Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 30, 2011

Kim Swee jejak pemain wibawa (Harian Metro Online)

TIDAK mahu cepat berpuas hati dengan pemain sedia ada, jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee akan memulakan usaha menjejaki pemain baru Sabtu ini bagi diserapkan dalam skuadnya.

Malah, usaha itu diibarat serampang dua mata kerana pencarian pemain itu bukan saja untuk memperkuatkan skuad Olimpik yang akan mengharungi pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 sebaliknya akan turut memikul tugas mencabar mempertahankan pingat emas Sukan Sea Palembang November depan.

Buat masa ini, teras utama skuad Olimpik negara dibarisi ramai pemain Harimau Muda A dengan Kim Swee hanya memanggil empat pemain luar, Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Ali, Faizal Abu Bakar (Kedah) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) dalam dua perlawanan pusingan pertama menentang Pakistan sebelum ini.

Walaupun terikat dengan jadual padat Harimau Muda A dalam kancah Liga Super, Kim Swee bersedia untuk turun padang menjejaki pemain lain yang layak menyertai skuadnya.

“Selepas perlawanan Harimau Muda A dengan Kelantan Jumaat ini, keesokannya saya akan terus ke Ipoh bagi menyaksikan perlawanan Perak dengan Felda United bagi mencari pemain yang boleh di serapkan dalam skuad Olimpik dan juga Sukan Sea. “Perak mempunyai beberapa pemain bawah 23 tahun yang masih layak untuk beraksi bagi dua kejohanan itu dan saya akan melihat sendiri prestasi pemain itu.

“Saya turut dibantu penolong jurulatih Hassan Sazali yang akan menyaksikan perlawanan Kuala Lumpur dengan Kedah di Cheras manakala jurulatih penjaga gol, Yong Wai Hwang pula akan ke Seremban. Kami semua akan berpecah-pecah dan usaha mencari pemain ini akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

Mengikut senarai, masih terdapat 81 pemain bawah 22 tahun yang masih layak beraksi dalam skuad Olimpik negara mahupun ke Sukan Sea Palembang.

Kesemua pemain ini mewakili pasukan negeri dan kelab dalam kancah Liga Super dan Liga Perdana.

Jika ada pemain yang berjaya memikat Kim Swee, mereka akan dipanggil menyertai latihan pusat skuad Olimpik pada 25 Mei ini sebelum mengharungi perlawanan pusingan kedua pada 19 dan 23 Jun depan.

Lawan skuad negara pada pusingan itu akan diketahui awal petang ini pada majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia di Bukit Jalil.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...