Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 16, 2011

Kim Swee amat harap bantuan (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/03/16

 KIM Swee (kiri) tidak berpuas hati dengan senarai 47 pemain yang ada  selepas peringkat pertama kelayakan Olimpik.
KIM Swee (kiri) tidak berpuas hati dengan senarai 47 pemain yang ada selepas peringkat pertama kelayakan Olimpik.

JURULATIH 'tiga dalam satu', Ong Kim Swee yang memikul tanggungjawab mengendali tiga pasukan tahun ini - skuad Harimau Muda A, Olimpik dan Sukan Sea - memerlukan bantuan jurulatih tempatan lain untuk mencadangkan nama pemain muda lain yang berpotensi mewakili negara.

“Bersama saya sudah ada senarai beberapa pemain bawah 22 tahun dari pasukan negeri atau kelab yang beraksi dalam Liga Super mahu pun Liga Perdana, tetapi pada masa sama saya memerlukan bantuan jurulatih terbabit untuk memberi maklum balas mengenai pemain-pemain muda mereka,” kata Kim Swee.

“Saya sendiri akan cuba turun menyaksikan permainan mereka jika tidak bertembung dengan perlawanan Harimau Muda A dan untuk perlawanan lain mungkin terpaksa melihat menerusi rakaman dan pemantauan oleh jurulatih masing-masing.

“Saya tidak mahu berpuas hati dengan senarai 47 pemain yang ada sekarang walaupun kita baru melepas cabaran Pakistan di peringkat pertama kelayakan Olimpik. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama di bahagian tengah dan jentera serangan.

“Jadi saya akan beri peluang kepada pemain lain yang belum berdaftar dengan skuad Olimpik untuk membuktikan keupayaan sebenar mereka menjelang pertemuan pusingan kedua 19 dan 23 Jun ini.” Malaysia akan diundi bertemu salah satu daripada 13 pasukan terbaik Asia pada 30 Mac ini.

Kim Swee juga sudah menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meminta penangguhan tiga perlawanan Liga Super sepanjang Jun bagi membolehkannya membuat persediaan rapi pada pusingan kedua kelayakan nanti.

JKPT yang akan bersidang hari ini dijangka tidak mempunyai masalah untuk menunaikan permintaan Kim Swee yang bercadang mahu mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa pada Jun nanti.

Sementara itu Kim Swee sedikit kesal apabila ada beberapa pihak mengatakan dia cuba menjadikan isu jadual padat sebagai alasan. “Saya sentiasa bersedia menyahut apa juga cabaran, baik jadual padat atau masalah kecederaan pemain,” katanya.

“Apa yang menjadi masalah bagi saya hanya percaturan untuk menurunkan pemain mana pada setiap perlawanan, kerana semua pemain di bawah bimbingan saya bersemangat tinggi untuk bermain, baik untuk Harimau Muda mahupun negara.“

“Saya harap tidak ada pihak yang salah faham dengan kenyataan saya mengenai jadual padat sebelum ini. Saingan sengit Liga Super dan Piala FA yang kami harungi sebelum bertemu Pakistan antara faktor yang memberi keyakinan tinggi kepada pemain Harimau Muda.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...