Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 11, 2011

KFA sedia timbang Azraai (Sinar Harian Online)


KETUA Jurulatih pasukan Kedah, Ahmad Yusof bercuti atas kerelaan sendiri, bukan disebabkan arahan atau paksaan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Pengurus pasukan, Datuk Khazali Din berkata, memandangkan Ahmad kini bercuti, persatuan tidak boleh melantik jurulatih baru sehingga tempoh bercuti itu tamat.

“Ahmad mohon untuk bercuti selepas peminat mendesak beliau letak jawatan. Atas pertimbangan sendiri, keputusan itu dibuat untuk redakan keadaan.

“Mungkin selepas cuti beliau tamat, kita akan putuskan kemudian,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) semalam.

Bagaimanapun, tempoh bercuti Ahmad tidak dinyatakan, dan pihaknya meminta semua pihak supaya menunggu perkembangan seterusnya.

Khazali berkata, pemilihan jurulatih baru belum dibuat dan perlu penelitian supaya situasi sama tidak berulang selepas pasukan diterajui jurulatih baru.

“Kita akan pertimbangkan mana-mana jurulatih yang berminat mengemudi skuad Hijau Kuning pada masa depan termasuk Azraai Khor Abdullah jika beliau berminat. Buat masa ini, kita sedang teliti siapa yang layak dan tidak terikat dengan mana-mana pasukan,” katanya.

Menurutnya, peminat dialu-alukan memberi cadangan calon jurulatih yang berpotensi, namun keputusan akan dibincangkan KFA.

“Bukan mudah nak pilih jurulatih baru, peminat boleh cadangkan tetapi kenalah lihat latar belakang calon. Keputusan bukan saya yang tentukan, ia diputuskan bersama dalam mesyuarat,” katanya.

Mengulas mengenai desakan penyokong yang mengecam Ahmad apabila prestasi pasukan merosot, Khazali berkata, peminat berhak menyuarakan pandangan.

“Penyokong yang bagus adalah mereka yang memberi pandangan membina dalam cara berhemah, tak perlu kecoh-kecoh supaya tidak kusutkan keadaan. Mereka yang bantah atau buat tunjuk perasaan adalah peminat bola sepak,” katanya.

Ditanya mengenai maklum balas pemain berhubung isu ini, Khazali berkata, sebahagian besar pemain melahirkan rasa sedih dengan keputusan Ahmad, namun akur dengan perubahan ini.

“Ada pemain kecewa sebab beban kemerosotan pasukan ditanggung Ahmad seorang, sedangkan pemain juga terlibat. Semua pihak mengaku ada buat kesilapan dan mahu tanggung bersama, bukan letak atas bahu jurulatih sahaja,” katanya.

Khazali meminta penyokong supaya mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ terhadap sebarang perubahan dalam KFA yang akan dibuat, kerana persatuan masih menjalankan kajian terperinci untuk mencari keputusan terbaik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena