Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Kelayakan Olimpik: Empat Pemain Baru Dibawa Ke Lahore

07 Mac, 2011 17:32 PM

SEPANG, 7 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Olimpik Malaysia Ong Kim Swee melakukan rombakan kecil dengan membawa empat pemain baru bagi menghadapi perlawanan timbal balik menentang Pakistan di Stadium Punjab, Lahore, Pakistan pada Rabu malam.

Ong berkata kecederaan ketika sesi latihan terakhir semalam menyebabkan beliau terpaksa melupakan khidmat empat pemain iaitu Mohd Faizal Muhammad yang bermain posisi pertahanan, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir (penyerang), Wan Zack Haikal Wan Nor (tengah) dan Mohd Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol).

"Saya telah membuat empat pertukaran dalam senarai pemain asal daripada 18 pemain yang disenaraikan untuk beraksi di Pakistan atas sebab kecederaan pada saat-saat akhir semalam sebelum berangkat ke Lahore," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Isnin.

Beliau berkata empat pemain yang menggantikan mereka ialah A. Thamil Arasu yang akan bermain di posisi serangan, Muhammad Zamir Selamat (penjaga gol), Syarul Azwari Ibrahim (tengah) dan Nazirul Naim Che Hashim (pertahanan).

Ong berkata segala persiapan pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu dilakukan termasuk daripada segi mental dan fizikal sebelum berpijak ke bumi Lahore.

"Saya mahu persembahan malam Rabu lepas (23 Feb) diteruskan dan pada mengharapkan jaringan yang lebih pada perlawanan kedua.

"Bagaimanapun kita perlu bersedia dengan provokasi di sana (Pakistan) kerana mereka akan mencari pendekatan untuk membuat kita tidak selesa seperti pemakanan, tempat tinggal dan keadaan padang di stadium," katanya.

Ong turut tidak menolak kemungkinan pasukan tuan rumah akan menggunakan corak permainan menyerang untuk menang bila beraksi di laman sendiri.

Dalam perkembangan lain, perubahan corak permainan dilakukan dengan menekankan permainan seimbang di barisan pertahanan di samping mencari penyudah berbisa untuk pasukannya menang selesa ke saingan seterusnya.

"Saya mengharapkan barisan tengah ini menjadi perancang untuk membantu jentera serangan kita di samping turun membantu memperkuatkan barisan pertahanan," katanya.

Seramai 10 pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan 18 pemain dijadual tiba di Pakistan menjelang malam ini.

Malaysia membawa bekal kelebihan dua gol ke Lahore selepas menumpaskan Pakistan 2-0 pada perlawanan pertemuan pusingan pertama, kelayakan Olimpik 2012 yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...