Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 1, 2011

Kelantan enggan cicir mata (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Pertembungan dua finalis Piala Malaysia musim lalu, Kelantan menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini dijangka menjadi medan perhitungan dua jurulatih berpengalaman yang penuh dengan tipu muslihat dalam corak taktikal masing-masing.

Bagi Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, kejayaan mengatasi Sabah 1-0 di Paroi tempoh hari disambut dengan perasaan gembira selepas diberi kata dua Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohammad Hassan ekoran prestasi merudum pasukan bimbingannya selepas mengharungi empat perlawanan.

Namun bagi pengendali Kelantan, Datuk M Karathu, keputusan seri 1-1 dengan Kedah di Alor Setar ternyata tidak menggembirakannya sebaliknya beliau mahu pertemuan menentang Negeri Sembilan malam ini menjadi medan kebangkitan anak buahnya daripada terus dihimpit kecelaruan mendapat mata penuh.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam perlawanan Liga Super musim lalu berpihak kepada Kelantan yang menang 3-1 di Paroi dan 1-0 di Kota Bharu manakala dalam aksi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Paroi sebelum Kelantan tewas 0-1 di Kota Bharu.

Karathu berkata, setiap keputusan perlawanan di Kota Bharu amat penting dan beliau tidak mahu Kelantan terus tercicir mata pada perlawanan pusingan pertama liga.

“Setiap keputusan perlawanan amat penting bagi kita menjarakkan kedudukan kita dalam saingan liga. Saya tidak begitu gembira sekiranya kita terus tercicir mata dalam perlawanan di sini,” katanya.

Menurutnya, pertemuan menentang skuad Jang di Kota Bharu malam ini menjanjikan aksi yang menarik.

“Saya sempat menonton rakaman perlawanan di antara Negeri Sembilan menentang Harimau Muda ‘A’ dan saya lihat corak persembahan mereka cukup meyakinkan.

“Mereka ada Hairuddin (Omar), Ahmad Fakri (Shaarani), Idris (Abdul Karim), Mohd Shukor (Adan) dan ramai lagi pemain yang berpengalaman. Saya fikir perlawanan malam ini bukan sesuatu yang mudah bagi kita walaupun beraksi dihadapan penyokong sendiri,” katanya.

Menurut Karathu, dalam usaha memastikan hasrat untuk mengutip tiga mata di halaman sendiri terlaksana beliau telah mengarahkan jentera serangan Kelantan bertindak lebih agresif dalam perlawanan malam ini.

“Saya sudah mengingatkan pemain supaya bertindak lebih pantas apabila mempunyai peluang di depan pintu gol lawan. Mereka kena cepat bertindak, jangan ambil masa yang lama memanfaatkan peluang terhidang,” katanya.

Tambahnya lagi, kekuatan mental semua pemain juga amat penting.

“Kita tidak boleh melihat kepada kekuatan pasukan lawan tetapi melihat keupayaan pemain sendiri. Saya mahu bukan hanya Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dan Norshahrul Idlan (Talaha) sahaja menjaringkan gol tetapi pemain lain seperti Muhd Badhri (Radzi) juga harus mengambil tanggungjawab yang sama,” katanya.

Karathu turut menyatakan bakal menggunakan formasi 4-4-2 dalam perlawanan malam ini.

“Tidak banyak perubahan dilakukan kecuali Zairul Fitree (Ishak) terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan tempat dia diisi S Subramaniam.

“Sementara, S Chanturu bersedia diturunkan malam ini selepas pulih daripada kecederaan ketika menentang Kedah tempohari,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena