Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 14, 2011

"Kekalahan jadi pengajaran" (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU – ‘Jadikan satu pengajaran’. Begitulah komen Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu selepas melihat pasukan kendaliannya tersungkur 0-2 kepada Pahang pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam semalam.

Walaupun kekalahan tersebut cukup pahit untuk ditelan, namun Karathu mengakui kekalahan tersebut, memberi ruang kepada beliau untuk mengenal pasti kelemahan pasukannya dan memperbaikinya bagi menghadapi perlawanan yang lebih sengit pada masa akan datang.

“Inilah lumrah dalam bola sepak, saya menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka. Namun saya tidak berpuas hati dengan aksi pemain kita secara keseluruhannya, yang gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.

“Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menunjukkan satu persembahan yang cukup seimbang. Namun kita gagal membendung kemaraan pemain Pahang yang memperoleh gol pertama mereka pada minit-minit terakhir babak pertama.

“Begitu juga pada separuh masa kedua, kita turut mempunyai dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun dipersiakan. Kita terpaksa mengeluarkan Piya (Muhd Badhri Radzi) dan Danial Fadzly (Abdullah) pada separuh masa kedua, bagi memantapkan jentera serangan kita setelah Norshahrul Idlan (Talaha) jelas keseorangan di posisi tersebut,” katanya.

Ditanya adakah harapan peminat, yang mahukan Kelantan terus mengekalkan rekod tanpa kalah sebelum ini memberi tekanan kepada pemainnya, Karathu mengakui situasi tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada persembahan pasukan secara keseluruhannya.

“Ia memberi kesan (usaha mempertahankan rekod tanpa kalah itu) kepada pemain. Akhirnya, kita menyedari ianya tidak bagus dan kita sebenarnya perlu belajar menerima kekalahan. Pemain perlu mempunyai mental yang kuat, dan saya berharap dengan leburnya rekod tanpa kalah itu, mereka sudah melepasi tekanan dan lebih bersemangat menunjukkan persembahan lebih baik pada masa akan datang.

“Kekalahan ini tidak menjejaskan moral pemain. Saya percaya untuk perlawanan seterusnya, para pemain Kelantan mampu bangkit untuk menunjukkan persembahan lebih baik dan saya berharap, mereka melupakan kekalahan 0-2 di tangan Pahang itu.

“Saya mahu, pemain saya berfikiran positif dan dapat menerima kekalahan tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena