Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Kafa cungkil bakat baru (Sinar Harian Online)

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Kelantan (Kafa) pada bulan Mac ini mengadakan pemilihan pemain muda di setiap jajahan Kelantan bagi mengenal pasti bakat-bakat baru untuk diserapkan ke akademi bola sepak Kelantan yang baru ditubuhkan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, melalui pemilihan yang dijalankan pasukan akan sentiasa memiliki pelapis baru.

“Sekarang pasukan memiliki 90 peratus pemain berasal dari Kelantan dan kita mahu ia kekal. Setakat ini, kita tidak memerlukan pemain import kerana pemain sekarang memiliki kualiti tinggi dan sangat kuat,” katanya.

Menurut Annuar, seramai 240 pemain akan dipilih antara usia 13 hingga 16 tahun diletak di enam buah akademi di sekitar negeri Kelantan.

“Mereka akan dilatih berdasarkan kurikulum yang ditetapkan dan bermain dalam liga yang diadakan pihak Kafa,” katanya ketika ditemui di Hari Keluarga bersama The Red Warrior 2011 di Al Hamra Farm, semalam.

Dalam pada itu, mana-mana ahli yang berdaftar dengan The Red Warriors Club (TRWC) bakal menerima pelbagai kelebihan.

Annuar berkata, ia merupakan usaha Kafa untuk menyatukan semua penyokong di bawah satu nama.

“Sekarang terdapat pelbagai kelab penyokong, jadi dengan adanya kelab TRWC seluruh penyokong dapat bersatu. Selain itu, penyokong bakal menerima banyak keistimewaan seperti diskaun barang dan perlindungan insurans setelah berdaftar di bawah TRWC,” katanya.

Sementara itu, jurucakap TRWC, Syed Mahadi Syed Mohd Nor berkata, terdapat empat pakej yang ditawarkan kepada peminat untuk menjadi ahli.

“Pakej bermula pada harga RM120 hingga RM5000. Terdapat pelbagai keistimewaan diberi seperti mata ganjaran yang boleh ditebus dan presiden box di stadium tiap kali menonton perlawanan bola sepak,” katanya.

Syed Mahadi berkata, ahli yang berdaftar turut menyumbang dalam membantu pembangunan bola sepak Kelantan.

“Yuran dikenakan dijadikan dana dalam pembangunan bakat muda di Kelantan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...