Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, March 17, 2011

Jangan hanya salahkan Khazali - Presiden KFA (Utusan Malaysia Online)

ALOR SETAR - Di sebalik desakan penyokong supaya Datuk Khazali Din berundur, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula mempertahankan kedudukan pengurus tersebut.

Azizan yang juga Menteri Besar berkata, Khazali tidak boleh dipersalahkan di atas kemerosotan prestasi pasukan Hijau Kuning.

"Kalau kita ada pengurus yang baik tetapi mungkin pemain tidak baik. Kita tidak boleh tengok salah seorang sahaja kerana jika pasukan kalah, salah jurulatih, kerana pasukan kalah, salah pengurus, pemain pula macam mana?

"Atau mungkin ada pemain yang bagus dan ada yang tidak bagus, kita akan tengok perkara ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darulaman di sini, semalam.

Beliau mengulas rasa tidak puas hati penyokong Kedah terhadap keputusan KFA mengekalkan pengurus pasukan tersebut, di sebalik kemerosotan pasukan Kedah.

Desakan penyokong agar pengurus dan jurulatih pasukan itu berundur, membawa kepada pertukaran jurulatih yang kini dipikul oleh Radhi Mat Din, setelah ketua jurulatih Ahmad Yusof direhatkan.

Kedudukan Khazali pula dikekalkan oleh Jawatankuasa Eksekutif KFA yang bermesyuarat sebulat suara menolak hasrat beliau untuk melepaskan jawatan tersebut sehari selepas Kedah kepada Felda United dalam saingan Piala FA, baru-baru ini.

Kejayaan Kedah menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan saingan Liga Super Sabtu lalu juga gagal mengubat kekecewaan penyokong, apabila ada yang berdemonstrasi sejurus tamat perlawanan tersebut mendesak Khazali berundur.

Azizan memberi jaminan untuk mempertimbangkan pandangan dan desakan penyokong tersebut.

"Kita akan timbangkan segalanya, kita hargai pandangan orang ramai demi kejayaan pasukan Kedah dan keselesaan semua pihak," katanya lagi.

Sementara itu, Azizan mengumumkan ganjaran lot tanah seluas 2.02 hektar tanah kepada lima pemain Kedah yang membantu skuad negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010.

Lima pemain terbabit iaitu Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, Mohd. Sabre Mat Abu, Khairul Helmi Johari, Mohammad Faizal Abu Bakar serta Amar Rohidan akan menerima 0.4 hektar seorang di Pokok Sena, di sini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...