Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 4, 2011

Harimau Muda A tersingkir (Utusan Malaysia Online)


Pemain Harimau Muda A, K.Ravindran terjatuh akibat diasak pemain Johor, Wan Azwari Wan Nor dalam perlawanan Piala FA di Stadium Shah Alam semalam. - UTUSAN/Mohd Shaharani Saibi


SHAH ALAM - Bukan protes tetapi tiada pilihan. Itu yang terpaksa dilakukan oleh jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee apabila tidak dapat menurunkan skuad utama, menyebabkan mereka tersingkir daripada Piala FA, setelah kalah 1-2 kepada Johor di Stadium Shah Alam, semalam.

Kim Swee hanya menyenaraikan sembilan pemain asal skuad itu dan sembilan lagi pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)

Kim Swee berkata, ekoran syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dia tidak dapat menurunkan walau seorang pun pemain utama pada perlawanan semalam.

''FAM tidak membenarkan mana-mana di kalangan 25 pemain yang terlibat dalam perlawanan kelayakan Olimpik diturunkan pada perlawanan malam ini.

''Saya tiada pilihan, sebaliknya bergantung kepada kekuatan sembilan pemain yang tidak terpilih dalam senarai akhir 25 pemain skuad Olimpik dan membawa masuk pemain SSBJ bagi menghadapi Johor.

''Memang saya terkilan kerana gagal meneruskan cabaran dalam Piala FA, tetapi saya tetap puas hati dengan permainan yang ditunjukkan oleh pemain muda ini walaupun mereka berlatih bersama selama sehari," ujarnya selepas perlawanan.

Seramai 25 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia pada perlawanan timbal balik kedua pusingan pertama kelayakan Olimpik sudah mendaftarkan diri di Wisma FAM, sebagai persediaan untuk bertemu Pakistan di Lahore, 9 Mac ini.

Dalam perlawanan semalam, pasukan Johor mendahului pada minit ke-12 menerusi Jasazrin Jamaluddin, yang menyepak kencang dari dalam kotak penalti.

Harimau Muda yang meletakkan enam pemain SSBJ dalam kesebelasan utama, gagal mendapat rentak pada separuh masa pertama tetapi akhirnya menemui sasaran pada minit ke-61 hasil tandukan Norhamizarif Hamid.

Kedudukan 1-1 tidak bertahan lama apabila enam minit kemudian Johor diberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Norizam Salaman untuk gol kemenangan pada minit ke-68.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...