Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, March 8, 2011

Fokus 100 peratus (Harian Metro Online)

JIKA benteng pertahanan skuad Olimpik negara nampak ‘bersantai’ pada aksi pertama, situasi itu dijangka berubah apabila mereka bertandang ke Lahore bagi perlawanan kedua pusingan kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia, malam esok.

Bukan sesuatu yang mustahil andai Pakistan yang dibimbing Tariq Lutfi berubah perwatakan lebih agresif untuk memadam defisit 2-0 berbanding pendekatan berkubu di kawasan sendiri dan hanya melancarkan serangan balas pantas seperti ditunjukkan ketika perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, 23 Februari lalu.

Perkara itu diakui kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat yang mengingatkan rakan sepasukan supaya memberi fokus 100 peratus dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Punjab jam 11 malam waktu Malaysia.

“Pada perlawanan pertama di sini kami tak berdepan banyak masalah tapi Pakistan pasti akan lebih menyerang kali ini dan semua pemain khususnya pertahanan perlu memberi fokus kepada permainan. “Untuk menghadapi perlawanan ini, kami juga sudah bersedia daripada segi mental, fizikal dan juga taktikal.

“Pasukan negara mempunyai kelebihan dua gol tapi kami bukan pergi ke sana untuk mempertahankan kedudukan itu, sebaliknya kami mahu mencipta kemenangan. “Pasukan yang beraksi lebih baik, merekalah yang berhak untuk menang,” katanya yang ditemui Arena Metro sebelum berangkat ke Karachi pagi semalam bersama 17 lagi pemain yang dipilih jurulatih, Ong Kim Swee.

Apabila tiba di Karachi mereka akan mengambil satu lagi penerbangan ke Lahore yang menjadi lokasi perlawanan.

Selain Khairul Fahmi yang bertindak di posisi gawang, benteng pertahanan negara turut diperkuatkan dengan kehadiran tonggak skuad juara Piala Suzuki AFF, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Mohd Shas dan Mahali Jasuli.

Khairul Fahmi, pemain skuad Liga Super Kelantan merasai pengalaman pertama menjadi kapten di peringkat antarabangsa dengan memakai lilitan di lengan pada perlawanan pertama kelayakan Olimpik dan nyata selesa dengan tugas diberikan itu.

“Saya tak ada masalah untuk memberikan arahan kepada rakan sepasukan di dalam padang, kerana kami sudah lama mengenali satu sama lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...