Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 7, 2011

Dua Atlet Bergelar Datuk Antara Calon Olahragawan Dan Olahragawati 2010

07 Mac, 2011 19:05 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Dua atlet elit bergelar Datuk, Lee Chong Wei dari sukan badminton dan ratu skuasy negara Nicol Ann David merupakan antara calon popular yang tersenarai bagi merebut anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2010.

Chong Wei dan Nicol juga merupakan pemenang bagi kedua-dua kategori tersebut bagi anugerah yang sama pada tahun 2009 tetapi dijangka menerima cabaran sengit daripada atlet sukan lain yang turut disenarai pendek bagi tahun 2010.

Bagi calon olahragawan, pemain badminton perseorangan nombor satu dunia itu akan disaingi oleh pelumba berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang, Sazali Abdul Samad (bina badan), Amirul Hamizan Ibrahim (angkat berat) dan Norshahrul Idlan Talaha (bola sepak).

Sementara Nicol akan dicabar oleh Elaine Koon (gimnastik), Pandelela Rinong (akuatik), Chai Fong Ying (wushu) dan Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak).

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Mohid Mohamed berkata pemilihan tersebut dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang atlet tersebut pada sukan Komanwel di New Delhi, Sukan Asia di Guangzhou, China dan kejohanan bertaraf dunia lain sepanjang tahun 2010.

"Agak sukar bagi KBS untuk membuat pilihan dan menetapkan siapakah yang layak untuk menerima anugerah tersebut kerana calon yang disenarai mempunyai kehebatan dan kelebihan dalam sukan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Mohid berkata pemenang bagi kesemua kategori tersebut akan diketahui pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2010 yang akan berlangsung pada 15 Mac ini di Hotel Mandarin Oriental di sini.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang merupakan tetamu kehormat pada majlis itu akan menyampaikan hadiah beberapa kategori utama.

"Seperti tahun lepas edisi tahun ini turut mempertaruhkan 11 kategori iaitu olahragawan/olahragawati kebangsaan, pasukan lelaki/wanita kebangsaan, jurulatih lelaki/jurulatih wanita kebangsaan, kepimpinan sukan, tokoh sukan, anugerah khas dan olahragawan/olahragawati paralimpik kebangsaan," katanya.

Pemenang olahragawan dan olahragawati kebangsaan, masing-masing akan menerima RM10,000 serta trofi.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaaan 2009 dimenangi oleh dua atlet elit, Chong Wei dan Nicol, yang masing-masing menduduki ranking nombor satu dunia bagi sukan badminton dan skuasy.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Telekom Malaysia (TM) Rozalila Abdul Rahim berkata pihak TM rasa berbesar hati kerana dapat bersama KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) memberi sumbangan bagi menganjurkan anugerah sukan negara.

"Penglibatan TM adalah bagi menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan tahun 2011 sebagai tahun sukan negara dan ini adalah peluang terbaik TM sebagai syarikat korporat untuk menyumbang sama bagi mempertingkatkan sukan negara," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...