Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 18, 2011

Blues congak final (Harian Metro Online)

LONDON: Carlo Ancelotti menegaskan Chelsea berada pada kedudukan terbaik memenangi Liga Juara-Juara walaupun skuad bimbingannya terpaksa bekerja keras untuk menyingkirkan juara Denmark, Copenhagen pada pusingan kedua.

Skuad bimbingan Ancelotti mara ke suku akhir kejohanan elit kelab Eropah itu dengan agregat 2-0 namun mereka menjadikan situasi sukar apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua di Stamford Bridge, awal pagi semalam.

The Blues mensia-siakan sejumlah peluang untuk melenyapkan harapan Copenhagen tapi tuah menyebelahi mereka apabila sepakan percuma Dame N’Doye terkena tiang pada babak pertama.

Bagaimanapun, Chelsea kini boleh menantikan undian suku akhir, hari ini dan Ancelotti yakin tiada alasan kenapa mereka tidak boleh mara hingga ke final di Wembley.

Beliau bagaimanapun menyedari sentuhan penyudah Chelsea perlu dipertingkatkan namun pengurus dari Itali itu percaya juara Liga Perdana itu kini sudah kembali ke landasan betul selepas persembahan kurang konsisten sebelum ini.

“Pemain kini segar dan ia saat yang baik untuk kami,” katanya. “Saya fikir kami mempunyai skuad yang mampu memenanginya.

“Pada saat ini semua pemain cergas. Jika kami mampu bermain pada tahap 100 peratus, kami mampu mara ke final.

“Suasana kini bagus. Kami bergelut dalam tempoh dua bulan lalu dan kini berada dalam keadaan lebih baik.

“Kami tenang dan tenteram. Suasana kini sangat baik. Selepas menang perlawanan pertama di Copenhagen, keputusan dan persembahan menjadi bagus.” Chelsea memulakan perlawanan dengan garang namun Yuri Zhirkov terlepas dua peluang terbaik pada babak pertama manakala Nicolas Anelka gagal mengambil kesempatan selepas hantaran Didier Drogba memperdaya dua pemain pertahanan.

John Obi Mikel hampir menjaringkan gol buat Blues namun tandukan pemain tengah Nigeria itu sekadar menggegar palang pada babak kedua.

Ancelotti enggan mengkritik sentuhan penyudah Chelsea yang mensia-siakan banyak peluang namun lebih suka memberi fokus kepada jumlah peluang yang dicipta.

“Apa yang tiada hanyalah jaringan gol. Permainan bagus, semangat, serangan balas yang pantas dan pertahanan yang mantap,” kata Ancelotti. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...