Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 16, 2011

Belum kalah namun Perak enggan dabik dada (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Selepas mengakhiri saingan Liga Super 2010 dengan hambar di tangga ke-11, permulaan Perak dalam kempen liga musim ini agak memberangsangkan, menyaksikan skuad Seladang menghuni tangga keempat, hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Kelantan.

Selepas tujuh perlawanan, skuad bimbingan Norizan Bakar mengutip 14 mata hasil tiga kemenangan dan tiga seri, masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Mereka juga bermula garang dalam saingan Piala FA, membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 dan Sime Darby 3-0 untuk melangkah ke suku akhir.

Penolong pengurus yang juga bekas bintang skuad Seladang, Ahmad Shahrul Azahar Sofian bagaimanapun berkata, Perak masih belum boleh mendabik dada memandangkan perjalanan musim ini masih jauh.

Dia mahu kebangkitan Perak diteruskan, lebih-lebih lagi selepas rombakan besar-besaran dibuat dengan kemasukan pemain dan staf kejurulatihan baru, mula menampakkan keberkesanannya.

"Alhamdulilah, Perak kini pulih dari musim suram menerusi pengstrukturan yang dilakukan dan setakat ini memang mula membuahkan hasilnya pada awal musim.

"Saya harap dengan peranan yang dimainkan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak dan kejurulatihan, berserta sokongan padu, usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Perak akan tercapai," katanya ketika ditemui kelmarin.

Biarpun cemerlang pada awal musim, bekas kapten skuad kebangsaan itu menjelaskan, skuad Seladang tidak mensasarkan sebarang kejuaraan piala.

Ahmad Shahrul menambah, sasaran yang paling realistik bagi Perak ialah kedudukan lima pasukan terbaik dalam Liga Super.

"Kita sedang dalam proses membina dan membentuk semula pasukan, kita perlu ambil masa.

"Tahun ini kita sasarkan 'top 5' (lima pasukan terbaik) dalam liga, tetapi kalau mampu menjulang sebarang piala maka itu satu bonus.

"Apa yang pasti dan menggembirakan, pasukan kita berada dalam landasan tepat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...