Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, March 16, 2011

Azidan harap tuah kali keempat (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Namanya pernah dipanggil tiga kali menyertai latihan skuad kebangsaan sebelum ini, tetapi tuah masih belum memihak pemain tengah Selangor dan bekas kapten Kuala Lumpur, Azidan Sarudin untuk menyarung jersi keramat Harimau Malaya.

Kali ini, tidak sampai tiga bulan beraksi bersama Selangor, pemain yang sebelum ini terkenal dengan gaya rambut panjang ketika mewakili skuad warga kota, berjaya menambat hati pengendali skuad kebangsaan, K. Rajagobal dan dipanggil dalam senarai 24 pemain yang akan menjalani latihan mulai 21 Mac ini.

Namun, jauh di sudut hati pemain berusia 25 tahun itu, dia berharap panggilan kali keempat menjalani latihan dan pemilihan skuad kebangsaan akan memberikan tuah kepadanya.

''Saya pernah mendapat panggilan daripada Norizan Bakar sebanyak dua kali dan sekali oleh Rajagobal, tetapi rezeki masih belum berpihak kepada saya.

''Selepas mendapat tahu nama saya tersenarai semalam, saya begitu gembira dan berazam mahu mendapat cap sulung bersama Harimau Malaya selepas pernah tiga kali mencuba, mungkin tuah saya akan menjelma buat kali keempat.

''Saya akan cuba memikat perhatian Rajagobal biarpun menyedari saingan di barisan tengah negara agak sengit dengan kehadiran Safiq Rahim, K. Gurusamy, Baddrol Bakhtiar dan Amar Rohidan yang lebih berpengalaman, " katanya yang dihubungi, semalam.

Azidan, yang memulakan karier di Kuala Lumpur sejak berumur 16 tahun, berhijrah ke Selangor musim ini dan menjaringkan satu gol dalam aksi Liga Super.

Memiliki keupayaan mendapatkan jaringan melalui rembatan jarak jauh dan pakar dalam situasi sepakan percuma, Azidan juga mempunyai gaya permainan yang lasak.

Namun, Azidan mengakui sekiranya dia gagal menambat hati Rajagobal, dia sama sekali tidak akan berputus asa dan cuba berusaha lebih gigih pada masa akan datang.

''Tiada erti putus asa dalam hidup saya, sekiranya impian saya untuk bermain bersama negara masih tidak tercapai, saya akan menjadikan ia sebagai motivasi terbaik untuk berusaha lebih gigih bersama Selangor selepas ini.

''Insya allah, saya percaya kepada ketentuan rezeki, jika ada rezeki, adalah... namun kalau tak dapat, saya tetap boleh terima, apa-apa pun saya mahu melakukan yang terbaik, " ujarnya.

Semua 24 pemain yang terpilih bakal mendaftarkan diri di Wisma FAM dan akan menjalani latihan selama seminggu selain menghadapi satu perlawanan persahabatan yang dirancang pada 26 Mac.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...