Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, March 12, 2011

Angin baru T-Team (Harian Metro Online)

BIARPUN sedar bakal mendapat tentangan hebat Perak, malam ini, skuad T-Team kendalian jurulatih Yunus Alif berazam mencatat kemenangan kedua bagi mencari tonik semangat untuk mengharungi saingan seterusnya dalam kempen Liga Super musim ini.

Ketua pasukan, Rosdi Talib berkata, semangat pemain untuk memburu kemenangan semakin membara terutama selepas mendapat kata-kata perangsang pengurusan skuad yang mahukan pemain membuktikan kehebatan selepas merudum dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Kami bukan ingin mendabik dada, tapi semangat pemain semakin kuat untuk mencari kemenangan kedua selepas hanya mengutip empat mata daripada lima perlawanan setakat ini.

“Selain itu, motivasi diberikan pihak pengurusan kepada kami yang mahukan T-Team bangkit daripada kekalahan juga menyemarakkan semangat kami untuk memperbaiki kedudukan,” katanya.

Menurut kapten berusia 35 tahun itu, walaupun Perak belum mencatat sebarang kekalahan musim ini ditambah memiliki barisan pemain berkualiti, dia serta rakan sepasukan yakin mampu memberikan cabaran getir bagi meraih kemenangan.

“Rangkaian penyerang kami, Khairul Izwan Khalid, Mohd Haris Safwan, Mohd Nor Farhan Muhamad (gambar) dan Mohd Saufi Saadi pasti menjadi senjata buat pasukan kami,” katanya. Menurut Rosdi, kelemahan pasukan pada enam perlawanan lalu termasuk dalam saingan Piala FA sudah dikenal pasti Yunus.

“Walaupun masih terdapat beberapa pemain utama yang cedera termasuk penjaga gol, Mohd Syamsuri Mustaffa serta penggantungan satu perlawanan pemain tengah, Tengku Hasbullah Raja Hassan, ia tidak mematahkan semangat kami untuk menghadapi perlawanan ini.

“Kelemahan di posisi serangan dan tengah yang sebelum ini sedikit pincang dan longlai kini semakin bertenaga selepas beberapa strategi dipraktikkan jurulatih ketika latihan,” katanya. Sementara itu, rakan sepasukan Rosdi, Azizi Matt Rose berkata, dia menaruh keyakinan barisan T-Team mampu memadam rekod tanpa kalah Perak walaupun sedar lawan bukan mudah ditumpaskan.

“Saya dan rakan sepasukan berazam memberikan persembahan terbaik,” katanya. Bagaimanapun, Azizi mengingatkan rakan sepasukan tidak lalai terutama dalam mengawal pergerakan pemain Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...