Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, March 14, 2011

Amaran Kim Swee buat anak buah (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

TIADA keistimewaan diberikan jurulatih Ong Kim Swee kepada pemain Harimau Muda A untuk terus kekal dalam skuad Olimpik negara.

Mereka kini sepatutnya berasa terancam apabila pengendali skuad muda negara itu memberi isyarat untuk memanggil lebih ramai pemain luar bagi persiapan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 Jun depan.

Dengan ujian selepas ini lebih mencabar apabila Malaysia bakal diundi bersama 13 pasukan pilihan antaranya Australia, Jepun, Korea Selatan, China dan Arab Saudi pada 30 Mac ini, Kim Swee bersedia memberi ruang kepada pemain lain untuk memperkuatkan pasukannya.

“Saya akan fikirkan pemain lain yang mempamerkan permainan yang baik dalam Liga Perdana ataupun Liga Super. Saya masih membuka peluang kepada pemain bawah 20 tahun daripada pasukan lain untuk beraksi dalam skuad Olimpik negara,” katanya.

Kim Swee yang membimbing skuad Olimpik negara mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0 pada pusingan pertama berkata, beliau tidak berdepan masalah untuk memanggil pemain bukan daripada skuad Harimau Muda A kerana tidak terikat dengan pemain yang didaftarkan dalam perlawanan sebelum ini.

“Saya mempunyai masa tujuh hari sebelum perlawanan (pusingan kedua) untuk mendaftar pemain,” katanya.

Sebelum ini, hanya empat pemain luar menyertai skuad Olimpik negara iaitu Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Ali, Faizal Abu Bakar (Kedah) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan).

Selain itu, apa yang diharapkan Kim Swee supaya persiapan mereka tidak hanya bergantung kepada aksi dalam Liga Super sebaliknya mahu mengadakan latihan dan perlawanan antarabangsa di luar negara sebelum perlawanan pertama pusingan kedua, 19 Jun depan.

“Perancangan memang mustahak, kalau kami tahu lawan selepas ini lebih awal baru boleh membuat perancangan lebih rapi. Kami mahu mencipta kejutan layak ke peringkat seterusnya,” jelasnya.

Kim Swee merancang untuk mengadakan latihan pusat bermula 25 Mei depan dan menuntut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunda tiga perlawanan Liga Super yang membabitkan Harimau Muda pada bulan Jun bagi persediaan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...