Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, February 2, 2011

Terengganu ikat Kelantan (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Hajat Kelantan untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan pertama di tempat sendiri tidak kesampaian apabila diikat seri 1-1 oleh musuh tradisi, Terengganu dalam perlawanan kedua Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Biarpun beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong sendiri, jelas Kelantan gagal menggunakan kelebihan tersebut sebaliknya aksi longlai pada separuh masa kedua menceritakan peluang mencipta kemenangan kedua dalam saingan liga tampak begitu sukar.

Pasukan pelawat memulakan aksi garang seawal minit keempat apabila pemain tengahnya, Josep Kalang Tie yang bijak melepasi perangkap offside pertahanan Kelantan, sempat melepaskan sepakan namun Mohd Farisham Ismail terlebih dahulu mengadang sepakan tersebut.

Dua minit berselang, giliran Kelantan menguji pintu gol Terengganu apabila Mohd Shakir Shaari bijak melorongkan bola namun penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dikesan berada dalam kedudukan offside oleh penjaga garisan.

Pada m-9, Kelantan diberikan sepakan percuma setelah Norshahrul Idlan dikasari oleh pemain pertahanan Terengganu di luar kotak penalti sebelah kanan pintu gol.

Sepakan percuma mengelirukan Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi ditumbuk keluar Mohd Sharbinee Allawee Ramli untuk memastikan pintu gol Terengganu terselamat daripada dibolosi.

Dua minit kemudian, Kelantan sekali lagi hampir berada di depan setelah hantaran jauh Danial Fadzly Abdullah kepada Mohd Nurul Azwan Roya dimanfaatkan menerusi gerakan solonya yang membawa masuk ke kawasan merbahaya pasukan pelawat tetapi rembatannya mudah dibaca Mohd Sharbinee Allawee.

Terengganu yang mempertaruhkan gandingan penyerang kebangsaan, Mohamad Ashaari Samsudin dan bekas pemain T-Team, Abdul Hadi Yahya seakan tenggelam punca sebaliknya pemain tengahnya, Josep Kalang dilihat lebih menyerlah dalam perlawanan malam tadi mengatur gerakan merbahaya untuk pasukan mereka.

Pada m-34, anak buah Datuk M Karathu sekali lagi kempunan untuk meraikan jaringan apabila hantaran silang Solehin Kannasian Abdullah dikeluarkan Reeshafiq Alwi setelah Mohd Sharbinee Allawee terlepas bola tangkapannya.

Selang seminit kemudian, detik yang dinantikan akhirnya tiba apabila pemain sayap, Mohd Nurul Azwan yang meloloskan diri daripada sebelah kanan pintu gol pasukan pelawat melakukan hantaran lintang dan mudah disempurnakan Muhd Badhri untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk menambahkan gol menerusi percubaan Norshahrul Idlan, Danial Fadzly dan Muhd Badhri namun ketangkasan Mohd Sharbinee Allawee menafikan hajat Kelantan.

Bersambung di babak kedua, Terengganu yang melakukan sepakan mula dilihat lebih garang menyerang pintu gol Kelantan, sementara aksi mendatar jentera tengah Kelantan menyaksikan tidak banyak gerakan merbahaya terhidang malah benteng pertahanan dipaksa bekerja keras mengekang asakan pasukan pelawat.

Pada m-69, Terengganu berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi tandukan menarik Ketua Pasukannya, Mohd Marzuki Yusof yang menerima hantaran lintang Josep Kalang dari sebelah kiri pintu Kelantan.

Tenyata gol tersebut membangkitkan semangat pemain pasukan pelawat apabila mempunyai dua peluang terbaik pada m-70 dan 73 perlawanan menerusi serangan balas pantas Abdul Hadi dan Josep Kalang, tetapi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat jelas berada pada prestasi kemuncak, menafikan percubaan dua pemain tersebut. Percaturan taktikal Karathu memasukkan dua pemain penyerang, Mohd Khalid Jamlus dan Mohd Nizab Ayub untuk menambahkan sengat jentera hadapan Kelantan dalam 20 minit terakhir tidak banyak membantu merencana gerakan merbahaya Kelantan.

Namun di sebalik aksi sederhana pemain Kelantan dalam perlawanan tersebut, pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid sempat mencuri perhatian apabila menanduk tepat ke pintu gol Terengganu setelah menerima hantaran menerusi sepakan percuma Muhd Badhri pada m-85 perlawanan.

Minit-minit akhir perlawanan, kesilapan pemain pertahanan Kelantan, Mohd Farisham yang lambat mengeluarkan bola, mudah direbut Abdul Hadi yang melakukan larian solo namun rembatannya terus ke dakapan Khairul Fahmi. Sementara itu, percubaan dari luar kotak penalti oleh Mohd Khalid diselamatkan Mohd Sharbinee Allawee menutup tirai, kedua-dua pasukan terpaksa akur berkongsi mata.

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...