Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 7, 2011

Siapa kapten tidak penting (Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Mohd Safiq Rahim
Mohd Safiq Rahim

PENGHORMATAN diraih Mohd Safiq Rahim selaku ketua pasukan kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu bakal tergugat dengan kembalinya tonggak utama pertahanan Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak.

Safiq, 23, memainkan peranan berkesan selepas ditugaskan oleh pengendali, K Rajagobal untuk mengemudi barisan negara mengharungi kejohanan itu ketika Aidil Zafuan terpaksa disisihkan selama hampir enam bulan angkara kecederaan lutut.


Namun, besar kemungkinan kedudukan itu bakal berubah apabila Aidil Zafuan yang kembali dipanggil menyertai skuad akan diberi tanggungjawab memakai lilitan di lengan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Tapi persoalan itu bukan menjadi keutamaan buat Safiq kerana dia berjanji memberikan komitmen tidak berbelah bahagi walaupun tidak bergelar ketua pasukan.


“Tugas itu satu penghormatan besar bagi saya, apatah lagi berjaya memenangi Piala AFF. Setakat ini belum tahu siapa yang menjadi kapten, kena tunggu Rabu ini. Tapi bagi saya, siapa yang menjadi kapten pasukan tak penting sebaliknya kami perlu terus bekerjasama dalam satu pasukan.


“Aidil sebelum ini cedera dan sekarang kembali bersama pasukan, kehadirannya pasti menguatkan semula pasukan,” katanya yang kini mengikuti latihan pusat bersama 23 lagi pemain bermula Rabu lalu di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Bagi persediaan menghadapi perlawanan pertama menentang Hong Kong, tahun ini, Rajagobal memanggil enam pemain yang tidak beraksi di kejohanan Piala AFF lalu iaitu Aidil Zafuan, Mohd Farizal Marlias, G Mahathevan, Shahrizal Saad, Ahmad Fakri Saarani dan S Chanturu.


Safiq, pemain tengah yang kini beraksi bersama negeri kelahirannya, Selangor berkata, walaupun sekadar perlawanan persahabatan, kemenangan ke atas Hong Kong penting buat pasukan kebangsaan mengekalkan aksi konsisten.

“Saya harap kami mampu mengekalkan prestasi di Piala AFF untuk mendapat keputusan positif bertemu Hong Kong. Semua pemain sedar, kami tidak mahu pasukan kebangsaan terus dilabel mudah tenggelam selepas mencapai kejayaan.


“Kami tidak tahu sejauh mana kekuatan Hong Kong tapi tidak boleh mengambil mudah perlawanan itu,” katanya yang melabel pasukan lawan itu mempunyai corak permainan seperti China yang agresif dan memiliki kelebihan fizikal.


Skuad kebangsaan kini dalam rangka persiapan untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014, Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...