Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 28, 2011

Piya tekad peraga aksi terbaik (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU - Aksi hambar Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi dalam pertemuan menentang Kedah di Alor Setar tempoh hari bukan sahaja mengundang kemarahan peminat setia The Red Warriors, malah pemain tengah itu sendiri turut meratapi kekecewaan kerana gagal membantu Kelantan mencipta kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Rekod tanpa kalah Kelantan dalam empat perlawanan hampir dileburkan Kedah, namun jaringan penyamaan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada m-79 menyelamatkan maruah pasukan ketika Kelantan seharusnya membawa pulang tiga mata penuh jika tidak kerana kegagalan Muhd Badhri memanfaatkan tiga peluang terbaiknya sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung.

Menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan malam esok, Muhd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya bertekad untuk kembali memperagakan aksi terbaik di hadapan penyokong setia sendiri bagi membantu Kelantan menewaskan skuad Jang.

“Saya minta maaf kepada seluruh penyokong bola sepak kerana gagal membantu Kelantan mengutip tiga mata penuh di Alor Setar, kalau tidak kerana kesilapan saya, sudah pasti kita mampu mencatatkan kemenangan ke atas Kedah dalam perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau mengakui, pasukan Kelantan menguasai perlawanan itu dan seharusnya berada dalam kedudukan selesa di persada liga andai memenangi perlawanan tersebut.

“Namun itulah hakikat dalam bola sepak kita hanya mampu seri walaupun kita menguasai perlawanan itu.

“Mungkin tidak ada rezeki saya untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu, saya terima hakikat bahawa aksi saya serba tidak menjadi dalam perlawanan itu,” katanya.

Menurut Muhd Badhri, perlawanan menentang Negeri Sembilan akan digunakan sebaiknya bagi membantu Kelantan mencipta kemenangan ketiga.

“Saya berjanji akan beraksi sebaik mungkin di hadapan penyokong setia sendiri, saya mahu melupakan aksi buruk saya di Alor Setar sebaliknya berazam menjaringkan gol dalam perlawanan malam esok.

“Saya berharap para penyokong setia Kelantan terus memberi sokongan sebagai pembakar semangat kepada saya dan rakan sepasukan lain untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya tidak gentar bertemu Negeri Sembilan yang rata-rata dibarisi pemain berpengalaman seperti Idris (Abdul Karim), Norhafiz Zamani (Misbah) dan Mohd Aidil Zafuan Adha (Abdul Razak).

Muhd Badhri setakat ini menjaringkan dua gol untuk Kelantan dengan kali terakhir beliau menjaringkan gol ketika pertemuan menentang Terengganu di Kota Bharu awal bulan ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...