Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 28, 2011

Penyudah tumpul (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

SUKAR menjangkakan aksi Selangor pada awal saingan Liga Super musim ini. Daripada lima perlawanan diharungi, tidak ada aksi meyakinkan dipamer juara bertahan itu termasuk ketika seri dengan Johor FC, kelmarin.

Selepas kalah kepada Kelantan di perlawanan pembuka tirai, Selangor yang dibimbing jurulatih K Devan mempamerkan prestasi turun naik dengan mencatat dua kemenangan, menewaskan Perlis dan Terengganu serta dua seri ketika menentang Kuala Lumpur dan Johor FC secara berselang seli.

Bagaimanapun, Devan masih belum panik biarpun menyaksikan sentuhan barisan penyerang agak tumpul pada perlawanan terbaru.

“Saya puas hati permainan yang ditunjukkan tapi kecewa dengan keputusan diraih kerana sepatutnya boleh membawa pulang kemenangan tapi nasib tak menyebelahi kami.

“Penyudah tak begitu baik tapi kalau nak cakap aksi Selangor tak konsisten kena tunggu keputusan tiga atau empat perlawanan lagi. Bagi saya satu mata yang dikutip di gelanggang lawan mencukupi tapi kami sepatutnya boleh menang,” katanya yang dihubungi semalam.

Dalam aksi di Stadium JCorp, Pasir Gudang itu, Devan hanya melakukan dua pertukaran berbanding kesebelasan utama ketika menewaskan Terengganu, 3-2 di Shah Alam dengan memasukkan Nasriq Baharom dan Razman Roslan menggantikan Khairul Anuar Baharum dan D Surendran yang cedera.

Gandingan penyerang Mohd Amri Yahyah dan Fadzli Saari yang turut dibantu pemain sayap Amirulhadi Zainal gagal menembusi gawang Johor FC.

Keputusan itu menyebabkan gergasi merah kuning tergelincir satu anak tangga ke tangga keenam dengan kutipan 8 mata keseluruhan, hanya tiga mata di belakang pendahulu liga, Kelantan.

Di sebalik masalah bahagian serangan yang kembali menghantui selepas ketiadaan Mohd Safee Sali yang berhijrah ke kelab Indonesia, Pelita Jaya, ada juga yang melegakan Devan menjelang pertembungan dengan Kedah di Shah Alam, esok.

“Saya masih tidak dapat menggandingkan Nasriq dan Khairul Anuar Baharom di bahagian tengah kerana selepas Nasriq kembali bermain, Khairul pula cedera. Tapi saya gembira kerana pemain pertahanan berjaya mencatat rekod bersih tanpa bolos buat kali kedua setakat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...