Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, February 25, 2011

Penyerang hilang bisa (Harian Metro Online)

Ramzul Zahini Adenan - Penyerang muda Kelantan yang bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha

JUARA Piala Sumbangsih 2011, Kelantan akan mempertajamkan jentera serangan bagi menghadapi perlawanan kelima Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman, malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, jentera serangan The Red Warriors perlu lebih tajam setiap kali mempunyai peluang bagi memastikan rentak kemenangan dapat diteruskan pada perlawanan itu.

“Setiap peluang diperoleh perlu disudahi dengan jaringan gol bagi memastikan kita mampu membawa pulang tiga mata penuh.

“Perlawanan ini penting dan saya mahu lihat penyerang menjaringkan gol setiap kali memiliki peluang,” katanya.

Katanya, Kelantan tidak akan berjaya menumpaskan pasukan Hijau Kuning andai jentera serangan gagal menyudahkan peluang dengan baik.

“Penyerang yang diturunkan perlu menjaringkan gol sekali gus memusnahkan harapan Kedah untuk menumpaskan kita,” katanya.

Karathu berkata, dia mengharapkan penyerang muda, Mohd Ramzul Zahini Adenan (gambar) menemui kembali sentuhan pemusnah pada perlawanan itu.

“Jika dinilai prestasi Ramzul ketika menentang Johor FC dan Kuala Lumpur sebelum ini, dia gagal menyempurnakan peluang dengan baik.

“Jika diikutkan peluang diperolehnya, dia sepatutnya dapat menjaringkan lima gol, namun dia hanya mampu menjaringkan satu saja,” katanya.

Katanya, setiap pasukan tidak boleh terlalu bergantung kepada seorang penyerang saja untuk menjaringkan gol.

“Pemain di posisi lain perlu mengambil peluang untuk menjaringkan gol kerana sudah pasti pergerakan Norshahrul Idlan Talaha akan dirantai.

“Sekiranya kita memiliki empat atau lima pemain yang mampu menjaringkan gol, itu petanda baik kerana lawan sukar menghalang pergerakan pemain kita untuk menjaringkan gol,” katanya.

Karathu bagaimanapun yakin anak buahnya mampu menumpaskan pasukan utara tanah air itu.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan kekuatan mereka tetapi akan memberi lebih tumpuan pada kekuatan dan strategi sendiri.

“Pemain perlu bekerja kuat dan ikut semua arahan taktikal diberikan, tidak mustahil kita mampu menumpaskan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...