Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, February 25, 2011

Norshahrul jadi taruhan Kelantan (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Malam ini, skuad bimbingan Datuk M. Karathu akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk bertemu bekas juara tiga Piala Malaysia, Kedah dalam saingan Liga Super.

Turun selaku pasukan pilihan, bukan tugas mudah buat Kelantan.

Walaupun berjaya membenam seteru utama Selangor pada aksi pembukaan 27 Januari lalu, itu bukanlah tiket utama untuk The Red Warriors berada dalam zon selesa malam ini.

Kedah setakat ini yang hanya mampu mencatat satu kemenangan yang pastinya akan turun bermati-matian untuk memungut mata penuh di laman sendiri sekali gus membantutkan hajat The Red Warriors untuk mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super.

Kemampuan skuad bimbingan Ahmad Yusof menjinakkan Felda United dan mengikat pasukan tangga kedua liga, Perak pada perlawanan sebelum ini wajar diberikan perhatian.

Walaupun peminat meragui kemampuan Hijau Kuning ini, namun skuad yang rata-rata dibarisi oleh anak muda ini tidak harus dipandang mudah oleh anak-anak buah Karathu.

Kemasukan tunggak berpengalaman seperti Amar Rohidan, Mohd. Fauzi Nan dan Firdaus Fauzi dilihat mampu membentuk gandingan mantap bersama pemain yang sudah masak dengan pasukan Kenari seperti Azmi Muslim, Badrol Bakhtiar, Sabree Abu dan beberapa lagi pemain lain.

Perkhabaran kembalinya penyerang 'prolifik' Azlan Ismail dari kecederaan panjang serta pemain tengah kebangsaan Amar Rohidan, bakal memperkuatkan lagi barisan pasukan Kedah.

Berdasarkan rekod pertemuan bagi kedua-dua musim lalu agak seimbang.

Hasil empat pertemuan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia kedua-dua pasukan berjaya mencatat satu kemenangan dan dua seri.

Berlainan pula bagi pendahulu Liga Super Kelantan, rentetan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur tempoh hari pasti mahu dilakarkan di bumi Darul Aman dalam usaha mengukuhkan cengkaman di persada liga.

Sentuhan penggempur berbisa Norshahrul Idlan Talaha yang mendapat jolokan 'The linesman' di kalangan peminat setia Kelantan, pasti ditagih untuk merobek gawang gol Kedah yang dikawal ketat oleh Helmi Eliza Elias bersama pasangannya Muhammad Ramzul Zahini Adenan.

Bagi Kelantan, semua posisi sudah tampak hampir sempurna.

Sentuhan 'tangan ajaib' Khairul Fahmi Che Mat di gawang gol tidak perlu dipertikaikan selepas hanya melepaskan dua gol sepanjang empat perlawanan.

Kehilangan tunggak pertahanan musim lalu, Azizi Mat Rose yang berhijrah ke T-Team tidak memberikan banyak masalah buat Kelantan. Gandingan Zairul Fitree Ishak, bersama Mohd. Daudsu Jamaluddin, Mohd. Rizal Fahmi Rosid dan Mohd. Farisham Ismail dilihat cukup kental mempertahankan kubu Kelantan daripada dibolosi.

Barisan tengah pula menyaksikan keserasian sudah mula terbentuk.

Kemasukan pemain sayap baru Nurul Azuwan Roya dilihat memberikan impak besar buat Kelantan sekali gus menutup ruang kekosongan yang ditinggalkan oleh Indra Putra Mahyuddin.

Jentera serangan Kelantan dilihat sudah mula menemui sentuhan penyudah apabila berjaya meledak sembilan jaringan sepanjang empat perlawanan.

Kembali semula beberapa pemain yang mendapat jolokan 'Kelantan ekspres' dilihat akan menambah sengat di bahagian serangan seandainya kelibat Muhammad Ramzul Zahini tidak menjadi.

Dalam pada itu, Karathu melaungkan keyakinan untuk terus mengutip tiga mata pada perlawanan menentang Kedah.

Menurut beliau, tiga mata pada perlawanan itu sangat penting buat pasukannya jika mahu meneruskan cengkaman di persada liga.

Tambahnya, perlawanan di peringkat awal harus digunakan sebaik mungkin dalam usaha mengumpul seberapa banyak mata bagi memastikan Kelantan terus berada dalam kedudukan selesa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena