Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, February 20, 2011

Nasib tidak menyebelahi T-Team - Yunus (Utusan Malaysia Online)


PEMAIN Kelantan, Mohd. IdlanTalaha (kiri) bersaing dengan pemain Terengganu T-Team, Amzar Junaidi Abd. Jalil pada perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - Mingguan/ AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU - Jurulatih T-Team, Yunus Alif menyifatkan faktor nasib sebagai penyebab utama kekalahan pasukannya kepada Kelantan pada perlawanan pusingan pertama Piala FA, kelmarin.

Katanya, T-Team memang telah bersedia untuk penentuan tendangan penalti tetapi malangnya nasib tidak menyebelahi mereka.

"Bagaimanapun saya puji semangat pemain saya yang bangkit selepas ketinggalan satu gol pada perlawanan itu," kata Yunus.

Menurut Yunus, T-Team berjaya mengimbangi perlawanan dengan Kelantan menerusi asakan yang bertali arus ke kubu pasukan pelawat tetapi gagal menemui sentuhan penyudah untuk menjaringkan gol.

"Kekalahan ini bagaimanapun memberi ruang kepada pasukan untuk kembali fokus terhadap persaingan liga," ujarnya lagi.

Dalam perlawanan kelmarin, skuad kendalian Yunus gagal menyekat kemaraan pasukan Red Warriors selepas tunduk menerusi penentuan penalti 5-6. Kedua-dua pasukan terdahulu terikat 1-1 selepas tamat masa tambahan.

Rizal Fahmi Rosid menjaringkan gol pembukaan Kelantan menerusi rembatan kencang pada minit ke-51, sebelum Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan 10 minit kemudian. Ketika penentuan sepakan penalti, kesemua enam pemain Kelantan berjaya menyempurnakan sepakan, sedangkan Nor Fazly Alias gagal menyudahkan tendangan T-Team.

Sebanyak enam kad kuning iaitu empat untuk T-Team dan dua untuk Kelantan dilayangkan pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamad pada perlawanan tersebut.

Perlawanan yang berlangsung agak tegang itu juga menyaksikan seorang penonton terpaksa menerima rawatan gara-gara terkena objek yang dilontar oleh penyokong fanatik kedua-dua pasukan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu berkata, Kelantan sepatutnya menang awal setelah dihadiahkan tendangan penalti pada masa kecederaan tetapi gagal disempurnakan oleh penyerangnya, Norshahrul Idlan Talaha.

"Bagaimanapun, saya tetap gembira dengan keputusan ini dan menganggap perlawanan ini seperti final," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena