Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, February 27, 2011

Memadai raih 1 mata: Karathu (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya sekali pun sekadar berkongsi mata dengan Kedah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam semalam.

Dalam perlawanan itu, Kedah terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penyerang utamanya, Azlan Ismail pada m-57 sementara gol penyamaan Kelantan dijaringkan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada m-79.

Karathu berkata, walaupun beraksi di bawah tekanan, tetapi kejayaan anak buahnya mencuri satu mata di gelanggang lawan, sudah cukup memadai bagi pasukannya untuk dibawa pulang ke Kota Bharu.

“Pada separuh masa pertama. kita menguasai sebahagian babak perlawanan dan mendapat satu hingga dua peluang. tetapi barisan depan pasukan kita gagal memanfaatkan peluang tersebut.

“Namun rentak perlawanan mula berubah pada separuh masa kedua, Kedah kembali menunjukkan corak permainan pantas dan turut mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Selepas itu, kita kembali menguasai perlawanan dan memperoleh dua hingga tiga peluang untuk menjaringkan gol.

“Walaupun Kedah menjaringkan gol terlebih dahulu, tetapi kita tetap berupaya menyamakan kedudukan selepas itu. Kita seharusnya pulang dengan mata penuh dalam perlawanan itu sekiranya peluang pada minit-minit terakhir tidak dipersiakan. Walau apa pun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan pemain saya,” katanya.

Karathu berkata, beliau mengakui jentera serangan masih belum berfungsi dengan sempurna walaupun mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

“Banyak perkara perlu diperbaiki di bahagian tersebut. Kita mencipta peluang tetapi penyudah kita tumpul. Perlawanan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu pada hari Selasa ini merupakan satu perlawanan yang sukar. Namun saya percaya pemain mampu kembali bangkit mencipta kemenangan,” katanya.

Sementara itu, penjaring gol penyamaan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha bagaimanapun melahirkan kekecewaan kerana tidak dapat membantu pasukannya meraih tiga mata, meskipun Kelantan mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...