Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, February 9, 2011

Lagi ramai lebih bagus: Subahan (Metro Online)

JANGAN timbulkan soal kedudukan skuad Pelita Jaya FC dalam Liga Super Indonesia sebaliknya fikirkan mengenai faedah kepada negara serta pendedahan bakal diterima penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali yang bakal beraksi bersama kelab itu mulai bulan depan.

“Tidak timbul soal kelab itu berada di kedudukan tercorot atau sebagainya kerana apa yang penting ialah pendedahan yang diterima Safee. Kalau kita nak fikirkan semua itu, sampai bila-bila pemain kita akan sekadar menjadi ‘jaguh kampung’ saja. Bagi saya, pemergian Safee ke Pelita Jaya sepatutnya disokong semua pihak.

“Kedudukan kelab itu dalam liga Indonesia tidak penting tetapi yang lebih utama ialah pengajaran, tunjuk ajar, pendedahan serta pengalaman beraksi di tempat orang. Secara peribadi, saya harap lebih ramai pemain kita keluar negara dan bukannya Safee seorang,” kata Datuk Subahan Kamal.

Di sebalik pengiktirafan diberikan kelab luar terhadap Safee, ada pihak menimbulkan isu mengapa Pelita Jaya FC yang menjadi pilihan kerana pasukan itu menduduki tangga tercorot liga Indonesia selain beranggapan penyerang berusia 27 tahun itu belum tentu dapat membarisi skuad utama kelab berkenaan.

Subahan tidak bersetuju dengan apa yang ditimbulkan itu kerana sebagai antara individu paling rapat dengan Safee selain bergelar pengurus skuad kebangsaan, beliau juga adalah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) - majikan Safee sejak beberapa musim lalu. Subahan juga salah seorang Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Mungkin pemergian Safee ke Indonesia membuka pintu lebih ramai pemain kita untuk keluar. Itu satu petanda baik kerana untuk mewujudkan sebuah pasukan kebangsaan yang benar-benar mantap, pemain kita perlu mempunyai bukan setakat skil tetapi juga pengalaman bermain yang luas.

“Saya selaku pengurus dan Naib Presiden FAM, berharap semua pihak memandang serius soal perpindahan pemain ke luar negara dan sekiranya pemain mereka ada mendapat tawaran beraksi bersama kelab luar, lepaskan saja kerana ia baik untuk pemain dan juga negara.

“Saya mengalu-alukan sekiranya ada pemain kita yang mahu keluar mencari pengalaman kerana sedar skuad kebangsaan kita hanya akan lebih baik sekiranya lebih ramai pemain beraksi di liga luar negara. Ini adalah hakikat dan lihat saja keadaan semua pasukan terhebat dunia,” katanya.

Safee dihulur kontrak selama setahun, bakal memulakan aksi bersama Pelita Jaya FC, 7 Mac ini dan perlawanan terakhirnya di Liga Super musim ini ialah menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...