Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 8, 2011

Keupayaan Blanc diuji (Metro Online)

PARIS: Perancis bakal menggunakan perlawanan persahabatan menentang Brazil, esok untuk mengukur tahap keupayaan dan kemajuan menentang pasukan terkuat sejak kontroversi melanda pasukan itu pada Piala Dunia lalu.

Pemenang Piala Dunia 1998 itu belum reda daripada kontroversi tersingkir seawal pusingan pertama di Afrika Selatan tapi kini berada pada landasan tepat selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas England November lalu serta beberapa aksi meyakinkan pada pusingan kelayakan Euro 2012.


Jurulatih, Laurent Blanc (gambar) yang tidak dapat beraksi pada pentas final 1998 menentang Brazil selepas dibuang padang pada separuh akhir berkata, anak buahnya kini bersedia mengharungi perlawanan sukar itu.

“Sebagai seorang pemain, tidak banyak peluang diperoleh untuk menentang Brazil sepanjang karier anda.


“Mereka salah satu pasukan terbaik dunia. Pastinya amat sukar kerana Brazil dibarisi ramai pemain hebat. Cara terbaik mengukur tahap keupayaan kami adalah dengan menentang salah satu pasukan hebat,” katanya.


Kali terakhir Perancis bertemu Brazil ketika menang 1-0 pada suku akhir Piala Dunia 2006 dan pasukan kendalian Blanc kini muncul pendahulu Kumpulan D kelayakan Euro 2012 dengan perlawanan seterusnya menentang Luxembourg, 25 Mac ini.

Blanc memilih membariskan beberapa pemain seperti Yoann Gourcuff dari Olympique Lyon, Alou Diarra dari Girondins Bordeaux dan pemain Olympique Marseille, Loic Remy di sebalik aksi kurang meyakinkan trio itu.


“Saya mengenali mereka. Saya tahu mereka mampu memikul tugas ini walaupun gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan sebelum ini.

“Terpulang kepada kami untuk membuktikan mereka boleh diharapkan. Ini yang amat penting sekali gus memberi lebih keyakinan kepada mereka,” katanya.


Blanc turut mengambil keputusan mengetepikan Patrice Evra meskipun pemain itu selesai menjalani hukuman penggantungan lima perlawanan kerana bertindak memimpin pemain lain melakukan pemberontakan ketika Piala Dunia lalu. - Reuters

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...