Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 21, 2011

Kemenangan bersandar nasib (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU - Biarpun mara ke pusingan kedua, namun kejayaan Kelantan menyingkirkan saingan T-Team dalam perlawanan kalah mati pusingan pertama kempen Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin boleh disifatkan bersandarkan kepada nasib semata-mata.

Kejayaan mara ke pusingan kedua bukannya mudah apabila Kelantan dipaksa bekerja keras untuk mencipta kemenangan setelah kedudukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan.

Penentuan pemenang mutlak akhirnya ditentukan menerusi sepakan penalti, sesuatu yang cukup tidak digemari setiap pasukan yang bertanding dalam saingan kalah mati sekiranya keputusan masih berkedudukan seri sehingga ke masa tambahan.

Sepakan penalti pasukan Kelantan disempurnakan Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Shakir Shaari, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Danial Fadzly Abdullah.

Sementara sepakan penalti pasukan T-Team pula mudah disudahi Indra Putra Mahayuddin, Khairul Izwan Khalid, Mohd Haris Safwan Md Kamal, Muhd Badrul Hisani Abd Rahman, Shamsul Kamal Mohamad.

Sementara sepakan terakhir pemain pertahanan, Norfazly Alias tersasar menyaksikan Kelantan melenyapkan cabaran pasukan berstatus kelab itu dengan keputusan 6-5.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui situasi perlawanan tempoh hari memberi tekanan kepada anak buahnya dalam mencipta kemenangan hingga memaksa perlawanan berlarutan sehingga masa tambahan sebelum The Red Warriors muncul sebagai pemenang menerusi sepakan penalti.

“Saya akui T-Team merupakan sebuah pasukan yang kuat, mereka amat berbeza daripada empat pasukan yang kita hadapi sebelum ini.

“Mereka turun dengan semangat luar biasa untuk mengalahkan kita dan kita berhadapan dengan satu tekanan yang cukup hebat sebelum keluar sebagai pemenang,” katanya.

Menurutnya, pasukan Kelantan diheret sehingga masa tambahan sebelum menang menerusi sepakan penalti.

“Dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan berlangsung, anda dapat lihat mereka menyerang habis-habisan daripada segenap penjuru padang untuk menjaringkan gol namun pintu gol kita terselamat daripada dibolosi.

“Memang kita bermain secara bertahan dalam perlawanan itu kerana mereka kerap melakukan serangan pantas ke arah pintu gol, apatah lagi mereka gemar melakukan hantaran jauh di samping perebutan bola tinggi sentiasa memihak kepada mereka, saya terpaksa menggunakan formasi 4-2-3-1 bagi mengukuhkan benteng pertahanan dan bahagian tengah,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak berpuas hati dengan jentera serangan Kelantan yang disifatkan tidak bernafsu besar ketika melakukan serangan ke pintu gol pasukan tuan rumah.

"Penyerang kita iaitu Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dan Mohd Nizab (Ayub) tidak dapat atasi kekebalan benteng pertahanan mereka.

“Muhammad Ramzul Zahini tidak sesuai bermain di sebelah tepi, Norshahrul Idlan (Talaha) pula jelas keseorangan dalam mencipta peluang walaupun pergerakannya tidak dibayangi pemain pertahanan T-Team,” katanya semalam.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana memperoleh kemenangan dalam perlawanan ini.

“Jika sepakan penalti Norshahrul Idlan menerjah jaring saya percaya kita seharusnya meraikan kemenangan lebih awal.

“Namun itulah bola sepak, kadang-kala penentuan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...