Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, February 2, 2011

Kelantan mahu terus permulaan baik (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Selepas menjinakkan juara Liga Super musim lalu Selangor 2-0 pada perlawanan pembukaan Sabtu lalu, Kelantan mahu meneruskan rentak cemerlang apabila melayan kunjungan musuh tradisi Terengganu di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.

Beraksi di gelanggang sendiri, ketua pasukan, Mohd. Badri Razhi mahu rakan sepasukan memberikan tumpuan dan tidak terlalu dibuai kejayaan lalu, sebaliknya cuba mendapatkan tiga mata penuh.

Menurutnya, beraksi di gelanggang sendiri harus dimanfaatkan sebaik mungkin jika Red Warriors mahu terus memberikan cabaran musim ini.

"Musim ini kita bermula dengan langkah kanan. Ia memberikan keyakinan kepada saya dan rakan-rakan sepasukan untuk meneruskan momentum kejayaan.

"Namun semua ini masih lagi peringkat awal. Kita tidak dapat mengukur kekuatan lawan yang akan kita hadapi selepas ini.

"Jadi kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya pada setiap perlawanan yang dilalui," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambahnya, dia menjangkakan saingan musim ini lebih getir dan mencabar, kerana semua pasukan membuat persediaan rapi.

Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu, ia tampak berpihak kepada juara Piala Malaysia itu, apabila berjaya menundukkan Terengganu 3-0 di gelanggang sendiri dan seri tanpa jaringan di Kuala Terengganu.

Mohd. Badri memberitahu, untuk perlawanan hari ini, dia dan rakan-rakan sepasukan sudah bersiap sedia untuk melayan kunjungan skuad Penyu.

"Semua persiapan berjalan lancar, saya dan rakan-rakan yang lain akan turun habis-habisan dan memberikan aksi terbaik untuk perlawanan malam esok (ini)," ujarnya.

Mengulas persefahaman di kalangan rakan sepasukan, pemain kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu berkata, dia masih dalam proses penyesuaian terutama dengan gandingan baru.

"Saya masih lagi mencari keserasian dengan pemain baru terutama Soley dan Nurul Azwan kerana kami bertiga baru sahaja digandingkan.

"Namun saya yakin dan percaya masalah ini akan dapat diatasi dengan cepat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...