Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 28, 2011

Kelantan hampa penyudah tumpul (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Penyudah yang tumpul membantutkan hasrat Kelantan untuk melebarkan kelebihan di tangga teratas Liga Super selepas sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar Sabtu lalu.

Pengurus pasukan Azman Ibrahim berkata, sikap terlalu menghormati kemampuan lawan yang dibarisi beberapa tonggak kebangsaan, hampir memakan diri sehingga membenarkan Kedah memperolehi gol awal biarpun pasukannya berjaya memberikan tekanan.

"Pada perlawanan itu, kami sepatutnya menang dan tiga mata daripada perlawanan tersebut penting buat kami untuk meneruskan cengkaman dalam liga serta menjarakkan kedudukan dengan pasukan lain.

"Saya sering berpesan kepada pemain supaya jangan mengambil mudah setiap perlawanan kerana pasukan lawan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi untuk menewaskan kami," katanya ketika di hubungi di sini semalam.

Azman memberitahu, beliau terkilan kerana pasukannya yang kerap mencipta peluang gol, namun gagal menghasilkan jaringan untuk memastikan Kelantan membawa pulang tiga mata penting ke Kota Bharu.

Menurutnya, dia mengakui kurang nafsu untuk menjaringkan gol di kalangan pemainnya menyebabkan beberapa peluang terbaik gagal disempurnakan.

"Kita sudah menjangkakan satu perlawanan sengit menentang Kedah, namun tidak menyangka kita mempunyai banyak peluang terbaik tetapi dihampakan dengan ketumpulan penyudah.

"Separuh masa pertama kita menguasai permainan dan gol yang dihasilkan Kedah pada awal babak kedua jelas sedikit melunturkan semangat pemain, namun kita bertuah kerana berjaya mengikat kedudukan pada minit-minit akhir perlawanan," ujarnya.

Tambahnya, beberapa kelemahan sudah dikenalpasti termasuk ketumpulan jentera serangan serta bahagian tengah yang kurang 'bekerja' dalam merencanakan permainan sehingga menyebabkan Kelantan hampir berputih mata.

Pada perlawanan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu menyegat menerusi jaringan penyerang kelahiran Kelantan, Azlan Ismail yang bijak menyudahkan hantaran Badrol Bakthiar pada minit ke-57.

Ketika Kedah berkira-kira untuk memungut tiga mata di laman sendiri, penggempur sensasi kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha menghukum kealpaan pertahanan Kedah dengan rembatan padu menewaskan Abdul Hadi Hamid untuk memastikan Kelantan tanpa kalah dalam lima perlawanan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena