Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, February 17, 2011

Karathu puas hati raih 3 mata (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU - Riak kegembiraan jelas terpancar pada wajah pengendali Kelantan, Datuk M Karathu setelah hasrat pasukannya untuk mengutip tiga mata penuh akhirnya tercapai biarpun bimbingannya mengalami kesukaran untuk mencatatkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Karathu mengakui, para pemainnya berhadapan kesukaran untuk memecahkan kebuntuan jaringan ketika menentang Kuala Lumpur kelmarin, tetapi pada masa sama beliau memuji kesungguhan pemainnya yang kembali bangkit mencipta jaringan biarpun pada babak kedua perlawanan itu berlangsung.

“Jelas mereka (Kuala Lumpur) bertandang ke Kota Bharu untuk bermain secara bertahan.

“Taktikal itu ternyata memberi masalah kepada pemain kita apabila sembilan pemain mereka berkampung di pintu gol dan anda boleh lihat pemain kita terjerat dengan situasi tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Menurutnya, pasukan kendaliannya mempunyai banyak peluang pada separuh masa pertama tetapi pemain gagal menjaringkan gol, malah pemain kerap hilang bola dan agak sukar untuk menghantar bola kepada rakan sepasukan yang lain.

“Kita terlampau melancarkan serangan menerusi bahagian tengah dan tidak di bahagian kiri dan kanan padang, sebab itu pada separuh masa kedua, kita menukar corak permainan dengan melancarkan serangan melalui bahagian tepi, hasilnya kita boleh lihat apabila kedua-dua gol yang kita jaringkan adalah menerusi sebelah kiri padang,” katanya.

Karathu berkata, perubahan taktikal yang dilakukannya pada separuh masa kedua disifatkan menjadi dengan corak permainan lebih berorientasikan serangan walaupun pergerakan penyerangnya, Norshahrul Idlan Talaha agak terbatas d:alam perlawanan itu.

“Dia (Norshahrul Idlan) dikawal ketat tiga pemain Kuala Lumpur, namun saya bersyukur kerana aksi dua pemain penyerang kita yang lain, Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dan Mohd Nizab (Ayub) jelas tidak mengecewakan saya.

“Mereka menunjukkan komitmen yang tinggi dalam perlawanan ini, ini perlawanan kedua bagi Adenan dan saya fikir sudah ada peningkatan daripada satu perlawanan kepada satu perlawanan yang lain bagi pemain ini,” katanya.

Mengulas mengenai Ayub pula, beliau berkata, Ayub dimasukkan menggantikan Solehin (Kanasian Abdullah) yang beraksi kurang baik dalam perlawanan berkenaan.

“Mungkin faktor keletihan mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi dia.

“Saya tidak bersedia menurunkan Mohd Nizab dalam kesebelasan utama pemain kerana takut dia tidak mempunyai keyakinan untuk beraksi, sementara khidmat bek kiri, Zairul Fitree (Ishak) saya terpaksa ketepikan kerana dia mengalami kecederaan ketika pertemuan menentang Johor FC tempoh hari,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...