Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 22, 2011

Jangan ambil mudah (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi dan Azlan Muhammad Zain
sukan@hmetro.com.my

SERIUS...Kim Swee (kiri) memberi arahan kepada anak buahnya di Wisma FAM, kelmarin.
SERIUS...Kim Swee (kiri) memberi arahan kepada anak buahnya di Wisma FAM, kelmarin.

JURULATIH skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan corak serangan pantas Pakistan jika tidak mahu misi mencari kemenangan selesa di laman sendiri pada aksi pertama pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012, esok berkubur.

Justeru beliau tidak mahu pemain memandang rendah keupayaan lawan yang turut diperkuat pemain berpangkalan di Eropah serta melakukan persiapan rapi dengan menjadikan Bangkok markas latihan menjelang pertembungan pertama di Stadium Shah Alam.

“Saya sempat menyaksikan aksi Pakistan ketika mereka mengadakan perlawanan persahabatan di Bangkok 9 Februari lalu dan mendapati mereka mempunyai kekuatan tersendiri, disiplin tinggi serta mempunyai tiga hingga empat pemain pantas. Saya mahu pemain berwaspada,” katanya.

Antara pemain yang mendapat perhatian dalam pasukan Pakistan yang dibimbing jurulatih, Tariq Lutfi adalah penjaga gol, Yousof Ejaz Butt dari kelab Birkerod IF Skjold, Denmark dan Irfan Khan yang mewakili Kelab Persatuan Bola Sepak Bradford Park Avenue, England.

Bagaimanapun, strategi Pakistan tidak menggentarkan Kim Swee yang mempertaruhkan barisan terbaik bagi memastikan skuadnya meraih bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Bola Sepak Punjab di Lahore bagi perlawanan kedua pada 9 Mac ini.

Biarpun tanpa dua penyerang utama Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim yang belum pulih daripada kecederaan, beliau mengharapkan ketajaman pemain berpengalaman Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Shakir Ali dan Mohamad Faizal Abu Bakar di bahagian serangan.

Daripada 25 pemain asal, Kim Swee mengetepikan Muhammad Nazmi Faiz, D Saarvindran, Abdul Shukor Jusoh, Muhammad Zamir Selamat, Thamil Arasu Ambumamee, Nazirul Naim Che Hashim, V Kavi Chelvan bagi melengkapkan skuad 18 pemain yang diumumkan semalam.

Bintang skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat penjaga gol dari Kelantan seperti dijangka memastikan tempatnya.

“Kalau boleh saya mahu senaraikan kesemua 25 pemain kerana mereka menunjukkan kesungguhan tinggi untuk beraksi dalam skuad ini tapi malangnya saya cuma boleh bawa 18 pemain saja. Walaupun memanggil pemain luar seperti Fakri, Shakir dan Khairul Fahmi, mereka tidak ada masalah menyesuaikan diri kerana pernah bersama sebelum ini,” kata Kim Swee yang turut membimbing skuad bawah 21 Harimau Muda A.

Malaysia memburu slot ke Olimpik London selepas kali terakhir layak beraksi di Sukan Olimpik Moscow 1980 namun tidak mengambil bahagian atas sebab politik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...