Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, February 26, 2011

Jadual padat tiada masalah (Harian Metro Online)

SELEPAS memulakan aksi saingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 dengan langkah kanan, skuad Harimau Muda A kembali memberi tumpuan kepada perlawanan Liga Super menentang Felda United di Stadium Shah Alam, malam ini.

Skuad bawah 21 tahun itu yang kini menduduki tangga ketiga liga terpaksa menghadapi jadual padat dengan dua lagi perlawanan menanti selepas itu apabila berkunjung ke Ipoh, Perak dalam aksi Liga Super (1 Mac) sebelum berdepan Johor (3 Mac) pada pusingan kedua Piala FA.

Tiga perlawanan ini bakal dijadikan pemanas badan serta penilaian prestasi buat barisan muda negara sebelum bertandang ke Stadium Punjab, Lahore bagi perlawanan timbal balik pusingan pertama kelayakan Olimpik dengan Pakistan, 9 Mac ini.

Menurut pemain pertahanan, Mohd Fadhli Mohd Shas, dalam tempoh yang ada, mereka perlu memperbaiki kelemahan walaupun sudah berada di landasan terbaik dengan bekalan dua gol ke Lahore hasil kemenangan pertama di Stadium Shah Alam Rabu lalu.

“Jadual padat tak jadi masalah cuma semua pemain kena pandai jaga diri dan mengekalkan prestasi. Pada saya persembahan ketika menentang Pakistan memuaskan tapi bahagian serangan perlu lebih tajam supaya dapat menjaringkan gol.

“Walaupun barisan pertahanan kurang diuji pada perlawanan itu, kami tidak boleh leka kerana ada kalanya kami tersilap hantaran, mungkin kerana kami ambil mudah selepas mendahului lawan,” katanya yang turut menjadi tonggak utama skuad senior ketika menjulang Piala Suzuki AFF Disember lalu.

Kata-kata Fadhli itu menyerlahkan semangat untuk membuktikan bahawa aksi kurang meyakinkan menentang Pakistan sebelum ini bukanlah aksi sebenar mereka.

Ini kerana pendedahan luas yang dimiliki Harimau Muda A termasuk dua kali berkelana di Slovakia, pasukan itu sepatutnya beraksi lebih baik memandangkan saingan lebih getir menanti jika melepasi halangan pertama.

“InsyaAllah, kami bukan saja akan mempertahankan jaringan dua gol di Lahore nanti sebaliknya mahu mencari kemenangan buat menyuntik keyakinan jika layak beraksi di pusingan kedua,” kata Fadhli yang berasal dari Johor.

Jika layak ke pusingan kedua, skuad negara akan bersaing dalam kelompok 24 pasukan termasuk 13 pasukan ranking terbaik Asia seperti Australia, Korea Selatan dan Jepun.

Dua belas pemenang pusingan kedua akan diundi dalam tiga kumpulan dan mereka bakal bersaing untuk menjadi juara kumpulan bagi slot automatik ke Sukan Olimpik London 2012 manakala naib juara kumpulan akan beraksi dalam play off.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...