Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, February 22, 2011

Ferris Danial pilihan Kim Swee (Kosmo Online)


FERRIS DANIAL (kiri) mendapat tempat dalam skuad Olimpik negara menjelang pertemuan dengan Pakistan esok.


NAMA dua penyerang, A. Thamil Arasu dan D. Saarvindran tercicir daripada senarai 18 pemain yang diumumkan jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee semalam.

Sebaliknya, Kim Swee memilih Ferris Danial Mat Nasir, 19, sebagai penyerang simpanan untuk aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan di Stadium Shah Alam malam esok.

Tugas penggempur utama akan digalas penyerang Kedah, Ahmad Shakir Md. Ali, 22, dan penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Fakri Saarani, 22, berikutan kecederaan yang dialami Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim.

Bagi Ferris Danial, dia tidak sangka dan agak terkejut setelah mengetahui namanya tersenarai memandangkan saingan cukup sengit untuk merebut tempat di kalangan 25 pelatih skuad Olimpik.

"Apabila sudah tersenarai ini, sudah pasti saya akan berusaha untuk menunjukkan prestasi sebaik mungkin jika diturunkan pada Rabu ini (esok).

"Saya mahu balas kepercayaan yang diberikan jurulatih dan membuktikan bahawa keputusan jurulatih memilih saya bukan suatu kesilapan. Saya akan cuba," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ferris Danial hanya mula menyertai skuad Harimau Muda B musim lalu tetapi muncul penjaring terbanyak pasukan dengan 11 gol dalam aksi Liga Premier.

Kemudian, pemain dari Kelantan itu menyertai skuad Harimau Muda A ke Slovakia sepanjang September hingga November tahun lalu dan berjaya meledak tiga gol di negara itu.

"Saya hanya menjadi pemain gantian pada aksi Liga Super musim ini bertemu Negeri Sembilan dan Perlis tetapi pada aksi Piala FA bertemu SDM Navy Jumaat lalu, saya diturunkan sepanjang 90 minit.

"Pada perlawanan itu, saya berjaya menjaringkan satu gol dan ia telah meningkatkan tahap keyakinan saya untuk menghadapi Pakistan," jelasnya.

Selain Ferris Danial, baki 17 pemain yang turut tersenarai ialah Khairul Fahmi Che Mat, Izham Tarmizi Roslan, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Affize Faisal Mamat, Faizal Muhamad.

K. Gurusamy, Irfan Fazail, Gary Steven Robbat, S. Sivanesan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman, Faizal Abu Bakar, Ahmad Shakir dan Ahmad Fakri.

Tujuh pemain yang tidak disenaraikan pula ialah Thamil Arasu, Saarvindran, Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, V. Kavi Chelvan, Abdul Shukur Jusoh dan Nazmi Faiz.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...