Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 21, 2011

Bola Sepak: Khairul Fahmi Antara 18 Terpilih Menentang Pakistan Rabu Ini

Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat dan lima lagi pemain skuad negara yang merangkul kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010 akan membawa cabaran negara dalam perlawanan pertama kelayakan Sukan Olimpik menentang Pakistan di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Selain penjaga gol Kelantan itu, pemain lain yang menambat hati Ketua Jurulatih skuad Olimpik Ong Kim Swee ialah Mahalli Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd Faizal Muhamad dan K.Gurusamy.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dalam satu kenyataan di sini Isnin, mengumumkan senarai pendek 18 pemain yang terpilih mewakili pasukan kebangsaan dalam perlawanan tersebut.

Turut terpilih ialah pemain tengah Ahmad Shakir Ali dan Mohamad Faizal Abu Bakar dari pasukan Kedah dan Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan).

Ong juga menyenaraikan sembilan pemain skuad Harimau Muda A iaitu R. Gary Steven, Mohd Affize Faisal Mamat, Mohd Fandi Othman, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir, Mohd Irfan Fazail, Mohd Izham Tarmizi, S.Sivanesan, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Bagaimanapun, Abdul Shukor Jusoh, V.Kavi Chelvan, Muhammad Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, A.Thamil Arasu daripada Harimau Muda A dan Muhammad Nazmi Faiz serta D. Saarvindran (Harimau Muda B) telah digugurkan daripada senarai asal yang dipanggil menjalani latihan pusat di Wisma FAM minggu lalu.

Malaysia diundi bertemu Pakistan dalam pusingan kelayakan pertama Olimpik dan perlawanan timbal balik akan diadakan di Stadium Punjab di Lahore pada 9 Mac.

Sebelum tiba di Kuala Lumpur, skuad Pakistan menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand untuk menyesuaikan dengan keadaan cuaca di sini.

FAM juga memaklumkan bahawa tiket-tiket bagi perlawanan kelayakan antara Malaysia dengan Pakistan akan mula dijual esok di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 9 pagi hingga 5 petang.

Tiket-tiket juga akan dijual pada hari perlawanan di Wisma FAM dari 9 pagi hingga 4 petang dan di Pintu A Stadium Shah Alam mulai 4 petang.

Harga tiket adalah RM20 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Perlawanan bermula pada 8.45 malam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena