Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, February 21, 2011

Ancelotti kecewa (Harian Metro Online)

LONDON: Carlo Ancelotti mengaku hanya kejuaraan Liga Juara-Juara boleh menyelamatkan Chelsea musim ini selepas peluang memenangi Piala FA untuk kali ketiga berturut-turut berakhir apabila tumpas kepada Everton menerusi penentuan sepakan penalti, semalam.

Skuad juara bertahan kendalian Ancelotti kalah sepakan penalti 3-4 selepas seri 1-1 dalam aksi sebenar pada perlawanan ulangan pusingan keempat di Stamford Bridge.

Dengan Chelsea kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester United, The Blues yang belum pasti boleh menamatkan kempen di tangga keempat perlu menjulang trofi Liga Juara-Juara bagi mengelakkan daripada kecewa tanpa sebarang kejuaraan.

Mereka bakal berdepan FC Copenhagen pada perlawanan pertama peringkat kalah mati Liga Juara-Juara di Denmark, minggu ini dan Ancelotti tetap menaruh keyakinan cabaran pasukannya musim ini belum berakhir.

“Kami perlu memandang ke depan dan menggunakan tempoh yang ada untuk membuat persiapan menghadapi perlawanan Liga Juara-Juara.

“Saya fikir kami mempunyai cukup masa. Ia bukan mudah tapi kami mempunyai masa. Kami mampu segera bangkit dari kekalahan ini. Kami mempunyai perlawanan penting selepas ini dan perlu bersedia dari segi mental.

“Setiap masa bila pasukan gagal mencipta keputusan baik, pengurus akan mengalami tekanan namun saya mempunyai sokongan padu dari kelab, pemain-pemain,” katanya.

Penyerang termahal, Fernando Torres akan beraksi menentang Copenhagen selepas tidak diturunkan ketika berdepan Everton.

Dengan Manchester United berkunjung ke Stamford Bridge pada minggu berikutnya, Ancelotti berharap dua kemenangan daripada perlawanan penting itu akan membuktikan kehebatan sebenar pasukannya.

“Kami akan menggunakan Torres bagi perlawanan Selasa ini (awal pagi esok) dan sememangnya kami mempunyai ramai pemain untuk menjaringkan gol. “Saya fikir kami boleh menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas. Ia bukan tugas mudah kerana terpaksa berdepan perlawanan sukar namun kadang kala lebih baik bermain dalam perlawanan sukar kerana anda lebih fokus.

“Kami tidak perlu takut berdepan Copenhagen atau United. Saya fikir ia akan menjadi musim cemerlang untuk kami kerana masih kekal bersaing dalam Liga Juara-Juara dan kami mahu memenanginya.

“Ia pencapaian hebat apabila memenangi dua kejuaraan tahun lalu. Tahun ini kami tidak mencapai tahap terbaik namun perlu memperbaikinya selepas ini,” kata Ancelotti. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena