Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 23, 2011

Uzbek cipta sejarah ke separuh akhir (Kosmo Online)


PEMAIN-pemain Uzbekistan meraikan kejayaan selepas membenam Jordan 2-1 di suku akhir Piala Asia, kelmarin.


DOHA - Uzbekistan kini mula menempa nama baru dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Asia dengan jurulatihnya, Vadim Abramov berkata, kemaraan pasukan itu ke separuh akhir membuktikan kepada dunia bahawa mereka tidak seharusnya dipandang remeh oleh pihak lawan.

Pasukan dari Asia Tengah itu yang menduduki ranking ke-108 dunia dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk berada sebaris dengan pasukan kerdil lain seperti Haiti, Grenada dan Antigua & Barbuda jelas mempamer prestasi mengagumkan di Doha dengan menumpaskan tuan rumah, Qatar dan kemudian Kuwait sebelum seri dengan China di peringkat kumpulan.

Kemenangan tipis 2-1 ke atas Jordan pada suku akhir pagi semalam menyaksikan mereka mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam sejarah dan situasi ini jelas amat menggembirakan Abramov.

"Kini kami adalah sebuah pasukan pencabar dan saya rasa negara kami ketika ini sangat gembira," kata Abramov.

"Saya rasa penonton yang menyaksikannya di TV dapat lihat bagaimana Uzbekistan bermain dan mereka tahu bahawa kami adalah sebuah pasukan yang bagus dan sukar untuk dikalahkan."

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, dua jaringan daripada bekas penyerang CSKA Moscow, Ulugbek Bakaev dalam masa tiga minit telah meranapkan impian Jordan yang merapatkan kedudukan 2-1 hasil jaringan kapten, Bashar Bani Yaseen.

Kemenangan itu membolehkan Uzbekistan kini hanya menanti pemenang antara Australia dan Iraq untuk bertemu di separuh akhir Selasa ini.

"Ketika masa rehat saya beritahu mereka bahawa lima minit pertama babak kedua kita mesti kuat.

"Saya arahkan mereka melakukan serangan sebaik saja babak kedua bermula dan hasilnya kami mendapat dua gol," katanya lagi.

Terdahulu dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Jepun bangkit daripada dua kali ketinggalan untuk menewaskan tuan rumah, Qatar 3-2.

Walaupun terpaksa beraksi 10 pemain, skuad Samurai Biru itu bijak menggunakan setiap peluang yang terhidang untuk memperoleh gol menerusi Shinji Kagawa dan Masahiko Inoha. Manakala dua gol Qatar dijaringkan Sebastian Suria dan Fabio Cesar. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena