Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 3, 2011

Usah terlalu ghairah terima lamaran kelab luar: Tengku Abdullah (Harian Metro Online)

KEJAYAAN menjulang buat kali pertama Piala Suzuki AFF nyata membawa tuah kepada beberapa pemain utama skuad kebangsaan apabila ditawarkan beraksi di beberapa kelab di negara jiran, terutama Indonesia.

Antara yang mendapat perhatian adalah penyerang terbanyak kejohanan dengan lima gol, Mohd Safee Sali serta rakan serangannya, Norshahrul Idlan Talaha serta pemain sayap kanan dari Selangor, Mohd Amirulhadi Zainal.

Ketika Mohd Safee dan Norshahrul secara terbuka bersungguh-sungguh untuk beraksi di Indonesia mahupun Vietnam sekiranya mendapat tawaran yang serius, pandangan sebaliknya dilontarkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menurutnya sekiranya tahap dan kualiti di negara yang ingin mereka wakili itu adalah sama dengan saingan liga tempatan, Tengku Abdullah berpandangan mereka wajar untuk kekal beraksi di dalam negara.

“Kalau ada tawaran dari kelab Jepun atau Korea Selatan, mungkin itu adalah yang sewajarnya untuk dibuat pertimbangan yang serius kerana kedua-duanya adalah negara yang menyajikan saingan liga yang kompetitif dan bertaraf tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tambahnya lagi, pemain tidak boleh terlalu ghairah dengan kemenangan yang dicapai sejak kebelakangan ini sebaliknya perlu kembali kepada perkara asas.

“Saya cuma menasihatkan mereka berfikir berulang kali. Kami di FAM tidak boleh menghalang sekiranya mereka benar-benar serius untuk beraksi di luar negara.

“Malah kehebatan dan kekuatan sebenar pasukan itu juga kita tidak mengetahuinya, cuma melalui media massa,” tambahnya.

Sebelum ini sebilangan pemain Malaysia turut berkelana di luar negara seperti Lim Teong Kim (Hearta Berlin, Jerman), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (RC Strasbourg dan FCSR Haguenau, Perancis) serta Mohd Fadzli Saari dan Rudie Ramli yang beraksi di SV Wehense, Jerman.

Mengenai cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memasukkan bola sepak di program Road To London 2012, Tengku Abdullah berkata pihaknya mengalu-alukan perkara itu kerana kos untuk mengurus satu pasukan bola sepak adalah tinggi dan persatuan itu tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

Berkenaan imbuhan pemain kerana kejayaan menjulang Piala Suzuki AFF, beliau berkata Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah akan mengumumkannya di dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...