Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 25, 2011

Tamparan buat Kelantan (Harian Metro Online)

NASIB jurulatih B Sathianathan untuk terus menabur bakti bersama juara Piala Malaysia, Kelantan musim ini kini terumbang-ambing apabila mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutus mengekalkan hukuman penggantungan enam bulan ke atasnya, berkuat kuasa semalam.

Berdasarkan keputusan mesyuarat dipengerusikan Ganarajah C Ayathurai itu semalam, Sathianathan akan menjalani hukuman bermula 24 Januari hingga 23 Julai depan selepas hukuman itu ditangguhkan Oktober tahun lalu bagi memberi peluang jurulatih berusia 52 tahun itu membimbing skuad The Red Warriors di pentas final Piala Malaysia.

Keputusan itu pastinya memberi tamparan hebat buat Kelantan yang kini dalam rangka persiapan terakhir sebelum turun menentang juara Liga Super, Selangor bagi perlawanan pembuka tirai musim ini merebut Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

Penolong Setiausaha Agung, Ahmad Fuad Daud, berkata Sathianathan tidak boleh mengendalikan skuad Kelantan dalam tempoh berkenaan dan terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sama ada mencari jurulatih baru ataupun pengendali sementara.

Ini kerana penolong jurulatih skuad itu, Hashim Mustapha tidak mempunyai lesen kejurulatihan kelas A untuk mengisi kekosongan berkenaan.

“Jawatankuasa Rayuan membuat keputusan untuk mengekalkan hukuman tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas Sathianathan selama enam bulan selepas menangguhkan hukuman itu tahun lalu bagi membolehkan beliau menguruskan pasukan Kelantan pada perlawanan separuh akhir dan akhir Piala Malaysia.

“Kelantan perlu cari jurulatih baru atau pengendali sementara kerana Sathianathan tidak boleh terbabit ketika perlawanan dalam tempoh penggantungan,” katanya. dalam sidang media semalam.

Turut menerima nasib sama, bekas jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor (gambar) yang turut digantung enam bulan serta denda RM2,000 namun hukuman itu sudah berjalan 21 Oktober lalu dan akan berakhir 20 April ini.

“Bagi kes Che Ku Marzuki, beliau sudah menjalani hukuman selepas Jawatankuasa Disiplin membuat keputusan tahun lalu,” kata Ahmad Fuad.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...