Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 18, 2011

Takdir Uzbekistan (Kosmo Online)


SKUAD Uzbekistan meraikan kejayaan mara ke saingan suku akhir Piala Asia 2011 selepas seri 2-2 dengan China semalam.


DOHA - Uzbekistan mara ke saingan suku akhir Piala Asia 2011 selaku juara Kumpulan A setelah mencatat keputusan seri 2-2 dengan China di Stadium Gharafa awal pagi semalam.

Ketinggalan seawal minit ketujuh hasil jaringan Yu Hai, Uzbekistan menyamakan kedudukan menerusi Odil Ahmedov pada minit ke-30.

Aleksandr Geynrikh berjaya meletakkan Uzbekistan di hadapan selepas seminit babak kedua berlangsung.

Namun, China menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Hao Junmin pada minit ke-56 tetapi gagal mencari gol kemenangan, sekali gus menyebabkan mereka gagal melangkah ke peringkat suku akhir.

"Inilah takdir kami. Saya ucapkan terima kasih kepada para pemain kami yang telah beraksi baik ketika menewaskan Kuwait dan Qatar sebelum ini.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang corak permainan bertahan kami pada perlawanan ini tetapi ia merupakan keputusan yang kami mahukan," kata jurulatih Uzbekistan, Vadim Abramov.

Uzbekistan bakal bertemu naib juara Kumpulan B iaitu sama ada Jepun, Jordan atau Syria.

Sementara itu, hanya penolong jurulatih China, Fu Bo hadir pada sidang media selepas perlawanan setelah jurulatih mereka, Gao Hongbo diarahkan meninggalkan bangku simpanan oleh pengadil pada masa kecederaan.

"Saya perlu katakan, inilah perlawanan paling hebat. Para pemain kami telah melakukan yang terbaik.

"Cuma kami kurang bernasib baik dan terdapat beberapa perkara kecil yang menghalang kami daripada menang," kata Bo.

Ditanya apakah yang begitu menyebabkan Hongbo marah, Bo ringkas berkata: "Mungkin kamu (wartawan) sepatutnya bertanyakan soalan ini kepada pengadil."

- AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...