Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 20, 2011

Skuad Yob jangan lupa diri (Harian Metro Online)

Oleh Azizan Hashim

JANGAN ghairah dengan kejayaan perlawanan persahabatan! Begitulah amaran jurulatih Perak, Norizan Bakar terhadap anak buahnya agar tidak dibuai mimpi indah berikutan rekod 100 peratus dalam perlawanan pemanas badan mereka setakat ini, termasuk kejayaan 3-0 ke atas Kedah di Ipoh, petang semalam.

“Jangan terlalu gembira dengan kejayaan setakat ini. Memenangi perlawanan persahabatan bukan bererti sudah cukup bagus kerana bukan medan sebenar menguji keupayaan. Apa yang penting, pencapaian semasa kejohanan sebenar,” kata Norizan selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menunjukkan kepada ramai peminat pasukan Kejor Yob Kejor yang hadir menyaksikan perlawanan betapa dia masih memiliki ketajaman apabila menjaringkan dua gol Seladang manakala baki gol Perak dijaringkan Shafiq Jamal.

Begitupun, Norizan enggan memuji persembahan anak buahnya, sebaliknya berkata, masih ada kelemahan perlu diperbaiki menjelang sepak mula Liga Super 10 hari lagi.

“Kerja-kerja memantapkan pasukan akan diteruskan hingga saat akhir sebelum saingan bermula. Masih banyak perlu dilakukan dan sehubungan itu pemain harus bekerja keras bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik,” katanya.

Norizan berpeluang memperkemas jentera pasukannya pada perlawanan pemanas badan terakhir menentang PKNS Selangor di Ipoh, Sabtu ini sebelum baki seminggu yang ada digunakan melaksanakan percaturan taktikal dan ‘set piece’ sebagai muslihat yang akan digunakan dalam situasi tertentu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena