Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 9, 2011

Skuad Felda berwajah baru hadapi Liga M (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Juara Liga Perdana 2010, Felda United jelas bernafsu besar dalam mengharungi cabaran pentas Liga Super pada musim ini biarpun ini merupakan tahun pertama pasukan berstatus kelab tersebut berada di saingan tertinggi Liga Malaysia.

Hanya mengekalkan 11 pemain yang menjuarai saingan Liga Perdana, pengurusan Felda United telah membawa masuk 15 muka baru sekali gus memberikan amaran kepada pencabar lain di Liga Super bahawa kekuatan mereka tidak boleh dipandang rendah.

Pengurus skuad Felda, Faisal Zakaria berkata, mereka sedar tidak boleh bergantung kepada pemain yang sama kerana cabaran di saingan Liga Super adalah satu kelas yang berbeza.

''Tahap permainan di Liga Super memerlukan kami membuat rombakan besar dengan membawa masuk ramai pemain yang berpengalaman dan lebih berkaliber.

''Jika dahulu kami hanya mempunyai 11 pemain yang mampu beraksi di atas padang tetapi musim ini kami ada 18 pemain yang bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.

''Kami bukan mahu sekadar kekal di saingan Liga Super, namun mahu berada di kalangan empat pasukan teratas dan merangkul sekurang-kurangnya satu piala,'' katanya yang dihubungi, baru-baru ini.

Antara nama besar yang berjaya dipikat oleh Felda United ialah Mohd. Hamsani Ahmad, Liew Kit Kong, Farderin Kadir dan Mohd. Nizaruddin Yusof.

Selain itu, beberapa muka lama seperti Juzaili Samion, Kaironnisam Sahabudin, Chow Chee Weng dan Rashid Mahmud dikekalkan pada musim ini.

Jelas Faisal lagi, E. Elavarasan juga akan mendapat bantuan bekas penjaga gol Selangor, Karel Stromsik yang dilantik sebagai penasihat teknikal pasukan.

''Semenjak dahulu dia berminat untuk datang ke sini memandangkan saya mempunyai hubungan baik dengannya semenjak bersama di Public Bank lagi pada tahun 2003 dan 2004.

''Namun, pada masa itu dia mempunyai ikatan kontrak dengan skuad remaja Republik Czech, selepas kontraknya tamat, barulah dia boleh bersama kami di sini.

''Dia memiliki lesen kejurulatihan kelas A di samping memiliki pengalaman luas mengenai bola sepak Eropah.

''Saya yakin kepakaran dan pengalamannya mampu membantu jurulatih penjaga gol, Zamzuri Mohd. Noor memperhebatkan posisi tersebut, '' katanya.

Karel Stromsik pernah beraksi dengan skuad Republik Czech di Piala Dunia 1982 dan pernah menyarung jersi Selangor selama tiga musim dari tahun 1989 hingga 1991.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...