Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, January 19, 2011

Semangat Safee berkobar-kobar (Harian Metro Online)

Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my

REPUTASINYA sejak kebelakangan ini memang hebat. Dia muncul penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF dan penyerang Selangor, Mohd Safee Sali tidak menafikan semangat juangnya ketika ini berkobar-kobar.

Tekadnya pada musim 2011 ialah membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia - hasrat yang sebelum ini beberapa kali gagal dicapai - dan Safee juga memasang impian peribadi iaitu mahu bergelar penjaring terbanyak Liga-M pula.

“Saya belum pernah menjulang Piala Malaysia dan kali ini, saya mahu melakukannya. Dengan barisan pemain Selangor sekarang, saya yakin kami mampu melunaskan dendam untuk beraksi di final sekali gus memenangi Piala Malaysia.

“Kami memiliki enam pemain kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF dan saya rasa inilah kesempatan terbaik untuk bergelar juara. Gabungan pemain Selangor sekarang juga lebih baik dan kami semakin serasi,” kata Safee.

Safee dan rakan-rakannya diperkenalkan kepada media dan peminat dalam satu majlis anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Stadium Shah Alam, petang semalam.

Tahun lalu, Selangor sekadar muncul juara Piala Sumbangsih dan Liga Super meskipun ketua jurulatih, K Devan mensasarkan anak buahnya untuk menjulang Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2005.

Sementara itu, Presiden FAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pemain yang membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF akan menerima ganjaran sumbangan badan induk itu dalam tempoh sebulan lagi.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut bentuk ganjaran yang bakal diberi sebaliknya berkata, sumbangan itu lebih terarah kepada bantuan masa depan dan bukannya sekarang.

“Kita lebih tertarik memikirkan masa depan pemain. Kalau dari segi kewangan, ia akan habis dalam masa terdekat tetapi kalau sumbangan yang kami rancang ini, ia mungkin boleh membantu pemain ketika mereka sudah berusia.

“Kita perlu ingat, kerjaya pemain bola sepak bukannya untuk jangka panjang. Oleh itu, kami di FAS tidak mahu ada pemain yang melarat ketika di usia tua,” katanya.

Khalid enggan memberi bayangan apakah bentuk sumbangan bakal diberikan sebaliknya hanya berkata, biarlah perkara itu diumumkan dalam masa sebulan lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...