Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Selangor, Kelantan buka tirai Liga M (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Selangor dan Kelantan akan membuka tirai kempen Liga Malaysia 2011 dalam perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah sebelum memulakan aksi dalam Liga Super musim ini.

Perlawanan bakal berlangsung pada 29 Januari ini di Stadium Shah Alam, pukul 8.45 malam.

Dua pasukan tersebut adalah antara 14 pasukan yang bakal berentap dalam Liga Super bagi mendapatkan gelaran yang sebelum ini menjadi milik Selangor untuk tempoh dua tahun berturut-turut sejak dari 2009.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata, terdapat dua lagi liga yang bakal berlangsung pada pada tahun ini selain Liga Super.

Antaranya, Liga Perdana yang bakal disertai oleh 12 pasukan dan Piala FA melibatkan penyertaan 29 pasukan.

''Jadual yang dirangka ini membolehkan pasukan yang mempunyai pemain kebangsaan menurunkan pemain mereka tanpa sebarang masalah di peringkat Liga Super dan Liga Perdana.

''Namun pada perlawanan Piala FA, pasukan yang mempunyai pemain kebangsaan tidak dapat menurunkan pemain mereka sekiranya dapat meneruskan aksi di pusingan kedua bagi membolehkan pemain kebangsaan beraksi di peringkat kelayakan Sukan Olimpik,'' kata Annuar kepada pemberita selepas tamat majlis undian Liga Malaysia 2011 di Bukit Jalil, semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azuddin Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Sementara itu, Hamidin memberitahu masih terdapat tiga lagi Stadium yang belum melepasi kelayakan yang dikehendaki untuk digunakan sepanjang perlawanan dalam Liga Malaysia tahun ini.

''Ada antara stadium tidak mencapai kecerahan lampu yang dikendaki selain mempunyai bilik persalinan pemain yang kurang selesa.

''Pihak saya akan terus menjalankan penilaian susulan terhadap stadium-stadium berkenaan bagi membolehkan tempat tersebut digunakan dengan lebih selesa kerana kadang-kala pihak pengurusan stadium sendiri tidak sedar bahawa stadium mereka tidak mencapai kualiti yang dikehendaki,'' jelas Hamidin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...