Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, January 7, 2011

Sedia galas cabaran (Harian Metro Online)

PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar) bersedia menggalas cabaran di pentas lebih besar sekiranya diberikan peluang menjadi benteng terakhir skuad Sukan Olimpik 2012.

Menurut pemain berusia 22 tahun itu, dia sentiasa bersedia memberikan khidmat kepada negara sekiranya jurulatih skuad itu, Ong Kim Swee berhasrat memanggilnya pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik di London itu menentang Pakistan pada 23 Februari depan.

Namun dia tetap merendah diri dengan menyatakan tempat di dalam kesebelasan utama masih belum terjamin kerana ada beberapa penjaga gol muda lain yang berbakat seperti Mohd Zamir Selamat dan K Sasikumar yang mendapat pendedahan di Slovakia sebelum ini.

“Saya kena bekerja keras lagi kerana kejayaan memenangi Piala Suzuki AFF penghujung tahun lalu adalah permulaan yang panjang untuk karier saya di peringkat antarabangsa.

“Saya seperti budak yang baru belajar,” katanya yang juga dikenali sebagai Apex di kalangan rakan sepasukan.

Dia yang menjadi antara pemain tonggak Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali pada tahun lalu mendapat perhatian Kim Swee selepas mempamerkan aksi yang cemerlang membantu Malaysia memenangi kejuaraan sulung Piala Suzuki AFF serta di Sukan Asia 2010 Guangzhou.

“Saya sendiri sebenarnya masih belum berpuas hati dengan prestasi di Piala AFF kerana masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya yang menyelamatkan sepakan penalti kapten Indonesia, Firman Utina pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, 29 Disember lalu.

Dia sebelum ini mengenepikan penjaga gol yang lebih senior daripadanya iaitu Mohd Farizal Marlias dan Mohd Sharbinee Allawee Ramli untuk menjadi pilihan utama ketua jurulatih kebangsaan K Rajagobal mengawal benteng terakhir negara di Piala AFF dan Sukan Asia.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, dia terus membuktikan pilihan Rajagobal itu tepat apabila mempamerkan aksi meyakinkan untuk membantu skuad kebangsaan mara ke pusingan kedua Sukan Asia selepas 32 tahun dan kemuncaknya membantu Malaysia menjuarai Piala AFF untuk kali pertama apabila hanya melepaskan tiga gol.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena